Berita Utama

Wajar perkenal semula GST selepas COVID-19 pulih

Rakyat hilang keyakinan jika ahli politik bolot pendapatan negara

BANGI, 27 Safar 1442H, Khamis – Waktu terbaik memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) GST adalah apabila sosioekonomi negara dan dunia semakin stabil, terutama selepas pandemik COVID-19 dapat dikawal atau diatasi.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Izlawanie Muhammad menyarankan, bagi pengenalan semula, kerajaan wajar mengenakan kadar GST lebih rendah, iaitu lima peratus dan dinaikkan secara berperingkat.

Bagaimanapun katanya, beberapa langkah boleh diambil membaiki sistem GST dengan pertamanya menambah baik kaedah pengiraan cukai dan pengisian borang agar lebih ringkas serta mudah difahami.

“Kedua, memastikan pelaksanaan dan penjelasan cukai konsisten. Antara rungutan peniaga, penjelasan cukai tidak konsisten pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). JKDM perlu melatih pegawai menerangkan undang-undang GST tepat dan kompeten dalam pengendalian kes audit.

“Ketiga, melaksanakan undang-undang ketat dan mengenakan tindakan lebih berat kepada peniaga sengaja menaikkan harga barangan lebih tinggi.

“Keempat, sistem pelaporan kutipan dan pembayaran balik cukai lebih efisien. Walaupun kerajaan mengumumkan kutipan cukai GST pada 2017 berjumlah RM44 bilion, ia tidak termasuk cukai perlu dibayar balik kepada pembayar cukai,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa sistem pelaporan lebih baik penting bagi memastikan jumlah bersih kutipan GST dapat ditentukan.

“Kelima, dalam jangka panjang, adalah lebih baik sistem pengurusan cukai langsung dan tidak langsung ditadbir satu agensi percukaian sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Izlawanie berkata, pentadbiran percukaian di bawah satu agensi dapat memastikan segala maklumat perniagaan diselaraskan, bagi memastikan peniaga membayar cukai tepat bagi cukai pendapatan dan GST, bahkan dapat mengurangkan kos pentadbiran serta pematuhan cukai.

Dr Izlawanie Muhammad.

“Sistem GST lebih baik sudah tentu dapat memenuhi objektif pelaksanaannya, iaitu meluaskan asas cukai, menambah bilangan pembayar cukai, meningkatkan tahap pematuhan cukai dan mengukuhkan pendapatan serta sosioekonomi negara.

“Rakyat perlu peka dan faham kebaikan GST, manakala kerajaan perlu memantapkan keyakinan rakyat. Walaupun kerajaan menggunakan sistem percukaian efisien, ia mudah ditolak rakyat sekiranya tidak telus dan kutipan cukai tidak diberi semula menerusi pelbagai insentif dan kemudahan.

“Keyakinan rakyat kepada kerajaan akan pudar dan lenyap sekiranya ahli politik tampak seperti membolot kutipan pendapatan negara. Justeru, keyakinan rakyat kepada kerajaan perlu dititik beratkan apabila GST diperkenalkan semula,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button