Berita Utama

11 Ahli Parlimen PAN kemuka usul undi tak percaya PM

Usul telah dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 28 Safar 1442H, Jumaat – Selepas Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kini 11 Ahli Parlimen Parti Amanah Negara (PAN) turut melakukan perkara sama.

Timbalan Presiden PAN, Datuk Salahuddin Ayub berkata, usul daripada setiap Ahli Parlimen telah dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat, hari ini.

“Semua Ahli Parlimen Pakatan Harapan bersama-sama dalam hal ini,” katanya.

Salahuddin berkata, Parlimen adalah platform terbaik untuk mengesahkan sama ada Perdana Menteri mendapat kepercayaan majoriti.

Sebelumnya, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengatakan bahawa mereka semua telah memberitahu Speaker bahawa ingin mengemukakan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri ketika Parlimen bersidang awal November.

Lima Ahli Parlimen parti PEJUANG yang belum didaftarkan juga telah mengemukakan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Mereka ialah Tun Dr Mahathir Mohamad (Langkawi), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Dr Maszlee Malik (Simpang Rengam), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Datuk Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

Lima bekas anggota Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengemukakan usul itu semalam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button