Berita Utama

Rakyat dahagakan pembelaan, makin mual dengan politik

Wakil rakyat jangan perjudikan masa depan rakyat demi politik

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 28 Safar 1442H, Jumaat – Agenda politik bukan suatu keutamaan pada ketika ini, tatkala rakyat dihambat perasaan takut dengan masalah ekonomi serta penularan COVID-19 yang semakin serius.

Selaku wakil rakyat yang diberi amanah, golongan berkenaan sepatutnya memberi perhatian kepada usaha membantu pengundi mereka yang dahagakan pembelaan dan perhatian.

Sehubungan itu, pemerhati politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff menegaskan, sekarang bukanlah waktu terbaik untuk berebut kuasa dan jangan sesekali memperjudikan masa depan rakyat semata-mata demi agenda politik.

Terutamanya, kata beliau, pada ketika pembentangkan Belanjawan 2021 semakin hampir kerana dibimbangi menjejaskan nilai pelaburan asing di negara ini.

“Ini kerana mereka tidak berasa selesa dengan langkah mengetepikan perancangan hala tuju belanjawan negara berikutan menghadapi kemelut politik tanah air.

“Sudah pasti juga rakyat akan berasa marah, sebabnya kesan daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah memberi bencana buruk kepada penularan COVID-19 di negara ini dan mengakibatkan terjejas teruk bidang ekonomi dan industri negara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan UMNO meletakkan syarat baharu untuk meneruskan kerjasama politik dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Perkara itu diputuskan melalui Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Selasa lepas.

Menerusi mesyuarat itu juga, UMNO turut membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong PN.

Mengulas lanjut perkara itu, Dr Syed Agil berpandangan bahawa UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) harus mencari titik persefahaman untuk membina jalinan pengukuhan politik yang lebih matang.

“Sudah-sudahlah menangguk di air keruh. Penyatuan parti sangat bernilai untuk mengembalikan kembali tahap ekonomi di negara ini. Penubuhan kerajaan interim, sekiranya terjadi sekiranya usul tidak percaya akan dikemukakan di Parlimen.

“Malah menyebabkan tahap kepercayaan terhadap kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri sekarang tergugat, akan merumitkan usaha kerajaan untuk meneruskan pentadbiran sehinggalah menantikan Pilihan Raya Umum (PRU) dapat dilaksanakan,” katanya.

Katanya lagi, yang menjadi persoalan utama sama ada kepentingan politik ini telah mengatasi kepentingan sosioekonomi rakyat.

“Apakah rakyat bersedia untuk dihimpit dengan kancah kerenah situasi politik tak menentu sekiranya berlaku perebutan kuasa dalam politik di negara ini?

“Sampai bilakah kemakmuran negara akan tercapai sekiranya parti-parti politik tidak sepakat untuk berganding bahu menyelesaikan konflik politik dan mengembalikan kepercayaan pelabur luar terhadap negara kita?,” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button