Berita Utama

Peta Standard China 2023: Jangan gentar, tuntutan dibuat tiada asas

Salur maklumat supaya rakyat lebih prihatin kedaulatan negara

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 18 Safar 1445H, Isnin – Malaysia tidak perlu gentar dengan tuntutan China di Laut China Selatan seperti digariskan dalam ‘Peta Standard China Edisi 2023’, yang meliputi kawasan maritim Malaysia.

Ini kerana, Malaysia diberi hak mentadbir Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia (ZEE) melalui perundangan antarabangsa dan Undang-Undang Laut (UNCLOS), kata Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Dr Azmi Hassan.

Jelas beliau, sudah banyak kali perkara ini berlaku apabila pencerobohan nelayan China melibatkan kapal pengawal pantai China memasuki negara dan Malaysia telah kemukakan bantahan terhadap China.

Terbaharu melibatkan Peta Standard Edisi 2023 namun ia adalah rentetan daripada sebelum ini.

“Sebenarnya tiada asas untuk China menuntut kerana sudah terbukti kita diberikan hak untuk mentadbir ZEE melalui perundangan antarabangsa dan juga UNCLOS yang turut ditandatangani China dan Malaysia.

“Ia menetapkan sempadan kedaulatan negara merangkumi wilayah pantai sejauh 12 batu nautika (nm) atau 22 kilometer (km) dari bibir pesisiran pantai, serta ZEE pada jarak sehingga 200nm atau 370km.

“Jadi dalam hal ini, kita jangan gentar tetapi perlu menggunakan isu ini untuk menyalurkan maklumat yang betul supaya rakyat lebih prihatin mengenai kedaulatan negara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Kementerian Sumber Asli China menerbitkan Peta Standard China Edisi 2023 yang meliputi sebahagian besar perairan Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak.

Peta itu antara lain menggabungkan kawasan yang menjadi pertikaian khususnya membabitkan kawasan Arunachal Pradesh, wilayah Aksai Chin, Taiwan dan Laut China Selatan.

Ia turut membabitkan kawasan maritim zon ekonomi eksklusif (EEZ) Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak, Brunei, Filipina, Indonesia dan Vietnam.

Mengulas perkara itu, Dr Azmi bersetuju sekiranya negara memperkukuhkan aset ketenteraan sama ada di perairan mahu pun udara bagi menunjukkan keseriusan dalam isu sempadan dan kedaulatan wilayah negara.

Katanya, kerajaan juga perlu memastikan armada kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) lengkap, mencukupi dan memenuhi tuntutan tugasan selaras situasi geopolitik semasa dan akan datang dan sebagai strategi pencegahan.

Selain itu, kerajaan perlu menambah baik aset milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang bertanggungjawab mengawal ZEE, selain tambahan aset untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memantau wilayah negara menerusi udara.

Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengesahkan akan menghantar nota bantahan sebagai tindakan lanjut, selain menegaskan perkara itu menjadi amalan Malaysia dalam sebarang pertikaian.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button