Berita Utama

AADK NS perkenal Kit Pintar 2.0 tingkat kesedaran murid bahaya dadah

Terengganu catat jumlah penagih dadah tertinggi

SEREMBAN, 28 Safar 1442H, Jumaat – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan hari ini melancarkan program Kit Pintar 2.0 bagi memantapkan lagi pengetahuan dan kesedaran bahaya dadah dalam kalangan murid sekolah rendah.

Pengarah Bahagian Pencegahan AADK Malaysia, Zainudin Abdullah berkata, kit itu yang diusahakan AADK Negeri Sembilan sejak 1998 dengan kolaborasi pelbagai pihak, memfokuskan kepada murid tahun empat hingga enam.

“Kit ini turut mengandungi permainan interaktif Antidrug Generations (A-GEN), video mesej pencegahan dadah dalam bentuk lakonan dan animasi serta flash card untuk menarik minat pelajar.

“Permainan interaktif ini diyakini dapat memberi impak positif dari segi pembentukan jati diri,” katanya ketika berucap pada pelancaran kit itu di sini yang turut dihadiri Pengarah AADK negeri, Dr Sallina Mansor dan Pengarah Pendidikan negeri, Md Fiah Md Jamin.

Sementara itu, Zainuddin berkata, berdasarkan statistik jumlah penagih dadah tahun lepas, Negeri Sembilan berada di tempat kelima selepas Perlis yang menyusuli Pahang, Kelantan dan Terengganu.

“Di Negeri Sembilan, masalah penyalahgunaan dadah atau penagihan dadah tidaklah begitu serius iaitu 702 orang daripada 100,000 penduduk. Terengganu merupakan negeri tertinggi jumlah penagih dadah iaitu sebanyak 916 orang,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button