Berita Utama

Contohi kepimpinan berteras Islam Empayar Melayu Melaka

Usah biar politikus menari riang seolah negara ini mereka punya

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 28 Safar 1442H, Jumaat – Impian untuk mengembalikan semula kemahsyuran Empayar Kesultanan Melayu Islam Melaka di negara ini bukanlah suatu perkara yang mustahil.

Semuanya mampu dilakukan dengan syarat rakyat kembali mengangkat pemimpin baharu yang berkeupayaan membawa negara ini ke landasan yang betul.

Ini terutamanya selepas sejak beberapa dekad lamanya negara dipimpin oleh golongan politikus yang tamak dan pentingkan diri sendiri sehingga agenda kemajuan diabaikan.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Gerakan Massa Pemuda ISMA, Mohd Soufi Anual menegaskan, rakyat bertanggungjawab memilih pemimpin yang tegas serta berprinsip bagi memacu Malaysia sekali lagi menjadi negara yang disegani seantero dunia.

“Empayar Kesultanan Melayu Islam Melaka wajar dijadikan contoh yang baik. Kepimpinan diterajui bangsa tonggak iaitu Melayu Islam.

“Sistem perundangan dan negara ditadbir urus dengan cemerlang. Bahasa Melayu sebagai lingua franca, bahasa utama perantaraan antara pedagang.

“Ratusan negara datang berdagang dengan aman damai. Melaka jadi tumpuan dunia, timur dan barat!,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Soufi berkata, rakyat khasnya orang muda, hari ini semakin fokus kepada calon yang hendak berada di gelanggang pertandingan. 

Beliau berkata, mereka menantikan kehadiran ‘imam’ baru yang membawa nafas segar dalam kancah politik.

“Nafas segar yang bagaimana? Pastinya orang muda yang berkaliber dan punya karisma. Amanah dalam memegang tanggungjawab. Berakhlak mulia, teguh beragama dan setia pada negara.

“Tegas berprinsip mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara.

“Mengutamakan perpaduan dan kesejahteraan rakyat serta tidak mendokong fikrah yang bertentangan dengan Islam seperti liberalisme, sekularisme, pluralisme dan sebagainya,” katanya.

Menegaskan ciri-ciri itu, Mohd Soufi berkata, calon-calon segar yang mempunyai sifat-sifat sedemikian sahaja yang mampu melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat Islam dengan baik mengikut neraca syarak.

Justeru, beliau menggesa rakyat untuk menilai kredibiliti bakal pemimpin yang akan dipilih dan menjauhkan diri daripada rasa taksub kepada mana-mana parti dan pemimpin.

Sekiranya rentak politik hari ini dibiarkan, dengan pelbagai pihak saling bercakaran antara satu sama lain, dibimbangi akan musnah keutuhan negara ini.

“Takkan nak dibiarkan saja politikus keparat menari riang gembira di pentas politik negara tanpa segan silu, seolah negara ini hanya mereka yang punya!

“Ayuh kita ubah. Kita mampu lakukannya!,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button