Dunia

COVID-19: China jalankan 11 juta ujian hanya dalam 5 hari

Wujudkan 4,000 tempat kumpul sampel, dikendalikan 10,000 petugas

ANKARA, 28 Safar 1442H, Jumaat – China melakukan 11 juta ujian saringan COVID-19 hanya dalam masa lima hari, di bandar di timur Qingdao selepas kes baharu dilaporkan hujung minggu lalu.

Sebanyak 13 kluster jangkitan dikesan di bilik imbasan CT Qingdao Chest Hospital, lapor Agensi Anadolu memetik Global Times.

Pihak berkuasa mendapati bilik itu digunakan untuk pesakit COVID-19 dan pesakit lain, tanpa menjalani proses disinfeksi yang betul.

Kemudahan perubatan itu ditutup sejak Ahad lalu.

Ujian saringan itu bermula pada Isnin dan berakhir pada Jumaat.

Pihak berkuasa mewujudkan lebih 4,000 tempat pengumpulan sampel, dikendalikan lebih 10,000 petugas perubatan.

Sekurang-kurangnya dua pegawai dikenakan tindakan berikutan kemunculan kluster itu.

Presiden hospital Deng Kai dipecat manakala pengarah suruhanjaya kesihatan perbandaran Sui Zhenhua digantung tugas.

Kluster Qingdao mencetuskan kebimbangan berikutan China sudah mengumumkan kejayaan mereka melawan wabak itu bulan lalu.

Sejak jangkitan pertama dilaporkan di Wuhan, wilayah Hubei pada Disember lalu, China sudah melaporkan 85,646 kes termasuk 4,634 kematian dan 80,759 pemulihan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button