Berita Utama

Elak PH didominasi DAP bangkit semula, parti Melayu mesti bersatu

PN, UMNO perlu tumpu permuafakatan demi kestabilan politik Melayu

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 28 Safar 1442H, Jumaat – Parti Melayu di dalam Perikatan Nasional (PN) perlu memberi tumpuan kepada usaha untuk saling bersatu demi memastikan kestabilan dan jaminan politik Melayu Islam.

PN tidak boleh melakukan kesilapan yang mampu memberi ruang dan peluang kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didominasi DAP untuk bangkit semula.

Pemerhati Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Isa Hamzah berkata, sekarang bukanlah masanya untuk parti-parti Melayu dalam kerajaan berebut kuasa sesama sendiri.

Sebaliknya, beliau menggesa PN dan UMNO menumpukan usaha permuafakatan antara satu sama lain, dan memastikan kestabilan politik Melayu terjamin supaya pentadbiran negara berjalan lancar.

“Isu yang berlaku antara UMNO dengan BERSATU adalah disebabkan kuasa. Ini apabila BERSATU yang mempunyai kerusi sedikit lebih berkuasa daripada UMNO yang memiliki kerusi Parlimen lebih banyak.

“Apabila UMNO ‘gertak’ mahu keluar PN, itu menunjukkan mereka berasa ada sokongan sebenarnya,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Dr Isa berkata, selepas kekalahan pilihan raya umum lalu, UMNO seolah-olah bermuhasabah dengan penolakan rakyat terhadap parti itu.

“Kemudian, wujudnya Muafakat Nasional antara PAS-UMNO yang kita lihat ‘real deal’ dan UMNO perlahan-lahan dipandang semula.

“Tetapi, selepas UMNO mendapat kekuatan dan menang pada setiap PRK, transformasi dalam parti itu seperti tidak berlaku,” katanya.

Beliau berkata, pucuk pimpinan UMNO dilihat membawa semula cara dan perangai lama iaitu kuasa, yang menjadi punca masalah hari ini.

“Ini termasuk kerjasama dengan MCA, walaupun parti itu pernah menolak UMNO dan ugut keluar BN selepas PRU14, tetapi UMNO masih memandang MCA penting untuk survival politik mereka.

“Punca masalah apabila UMNO tak konsisten dengan perubahan, dan sepatutnya ambil iktibar dengan kekalahan lalu.

“Namun, apabila parti itu masih dipimpin individu yang sama, maka tiada perubahan yang kita lihat. UMNO masih sama seperti dahulu,” katanya.

Sebelum ini, UMNO memutuskan mempertimbang untuk menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN) dan akan memberi syarat baharu kepada gabungan itu bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button