Berita Utama

Elak pupus, pupuk belajar Jawi di kalangan Melayu mulai sekarang

30 tahun usaha perluas Jawi terbantut akibat permainan retorik

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 28 Safar 1442H, Jumaat – Agenda memartabatkan tulisan Jawi perlu diperkembangkan dalam kalangan orang Melayu terlebih dahulu sebelum diperluaskan ke peringkat negara.

Meskipun langkah berkenaan disifatkan sebagai terpuji, namun usaha itu sering kali terbantut kerana menerima bantahan daripada pelbagai pihak khususnya bukan Melayu.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, untuk memastikan tulisan berkenaan tidak mengalami nasib sama seperti tulisan Rencong, Kawi dan Pallava, orang Melayu wajar memainkan peranan aktif.

“Aktif di sini bermaksud kalau boleh semua orang Melayu terlibat dalam urusan tulisan Jawi khususnya dalam penggunaannya.

“Usaha itu harus bertenaga kerana kadang-kadang ia lebih kepada retorik maknanya tenaga serta perancangan pun kurang.

“Selain itu, saya kira tidak boleh cepat putus asa kerana dalam keadaan dunia yang moden dan tulisan Rumi itu begitu popular. Oleh itu, tidak boleh patah semangat dalam usaha nak melestarikan dan memartabatkan tulisan Jawi ini” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, sudah 30 tahun usaha untuk memartabatkan dan melestarikan tulisan Jawi ini berada ditakuk lama.

“Baru-baru ini pun kita nak perkenalkan tulisan Jawi dalam sekolah (vernakular) tengok bantahannya. Sama juga apabila hendak perkenalkan tulisan Jawi pada papan tanda di Pahang,” katanya.

Justeru, Prof Kok Seong menyarankan supaya strategi untuk memartabatkan tulisan Jawi diubah dan pada masa sama agenda di peringkat negara diteruskan.

“Kalau kita ubah sebagai agenda Melayu saya pasti (tulisan Jawi) akan bergerak dan tidak akan pupus pada masa terdekat bahkan akan berkembang.

“Oleh itu mulai sekarang, pupuk Jawi dalam kalangan Melayu. Peringkat negara boleh diteruskan tetapi yang kita nampak negara sahaja yang kita usaha,” katanya yang menggesa pemimpin Melayu terlibat sama.

Pada masa sama, Prof Kok Seong turut menyarankan orang Melayu melibatkan diri dalam ‘Kempen Hari Jumaat Hari Jawi’.

“Saya kira bagus sekali setiap hari Jumaat dinamakan hari Jawi. Di sini orang Melayu perlu main peranan aktif dan kalau boleh hantar mesej dalam media sosial pun menggunakan tulisan Jawi,” katanya.

Terdahulu, Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, tidak mustahil tulisan Jawi bakal mengalami nasib sama seperti tulisan Rencong, Kawi dan Pallava jika tidak diperbetulkan daripada sekarang, kerana ia semakin dilupakan.

Katanya, kekhuatiran itu mempunyai asas yang kuat kerana perkara itu sudah pun berlaku kepada tulisan Melayu lama.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button