Berita Utama

Laksana GST? Bakal undang protes, perbaiki cukai sedia ada

Syor kenakan cukai ke atas keuntungan modal, barangan mewah

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 28 Safar 1442H, Jumaat – Meskipun Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diiktiraf sebagai sistem cukai yang lebih cekap dan produktif, namun ia bukan pilihan ‘popular’ untuk diperkenalkan semula bagi menambahkan pendapatan kerajaan.

Jika GST menjadi pilihan kerajaan juga, pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai bimbang, rakyat akan protes kerana tidak boleh mengelak daripada membayar cukai walaupun datang dalam kalangan golongan berpendapatan rendah.

Katanya, GST yang dilaksanakan sebelum ini telah memberi dua impak negatif iaitu kesan psikologi pelanggan serta asas yang meluas.

“Pertama, kesan psikologi pelanggan melihat cukai yang dibayarnya setelah membuat belian. Berbanding SST sekarang, walaupun dikenakan kepada pengguna-pengguna tetapi tidak dinyatakan di dalam invois dan tidak dikenakan selepas invois keluarkan. Justeru, pelanggan tidak merasakan mereka membayar cukai.

“Kedua, GST ini cukai yang dipanggil ‘broad base’ atau asas yang meluas. Tidak ada yang boleh mengelak sama ada berpendapatan tinggi atau rendah, kedua-duanya kena membayar cukai.

“Bagi yang berpendapatan rendah, jumlah cukai yang dibayarnya berbanding dengan pendapatan adalah lebih tinggi berbanding dengan T20. Jadi dilihat tidak adil,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Izlawanie Muhammad menyarankan, waktu terbaik memperkenalkan semula GST adalah apabila sosioekonomi negara dan dunia semakin stabil, terutama selepas pandemik COVID-19 dapat dikawal atau diatasi.

Katanya, bagi pengenalan semula, kerajaan wajar mengenakan kadar GST lebih rendah, iaitu lima peratus dan dinaikkan secara berperingkat.

Bagaimanapun katanya, beberapa langkah boleh diambil membaiki sistem GST dengan pertamanya menambah baik kaedah pengiraan cukai dan pengisian borang agar lebih ringkas serta mudah difahami.

Sehubungan itu, Prof Barjoyai mengesyorkan supaya cukai sedia ada – Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) – diperbaiki agar hasilnya hampir sama seperti GST dengan menambahkan lagi asasnya meliputi urusniaga dalam talian atau barang-barang mewah dikenakan kadar lebih tinggi.

“Sebenarnya sistem percukaian kita adalah baik tetapi untuk menjadikannya lebih produktif kita perlu memperbaiki cukai langsung dan cukai kekayaan itu.

“Cukai langsung kita – cukai pendapatan – sebenarnya walaupun dilihat seperti cukai yang progresif – hanya mengenakan kadar yang lebih tinggi kepada yang berpendapatan tinggi – sebenarnya tidak cukup kerana amat mudah untuk pembayar cukai mengelakkan diri dari membayar cukai,” katanya.

Selain itu, Prof Barjoyai turut menyarankan cukai ke atas keuntungan modal dikenakan.

Katanya, di Malaysia jika seorang itu melabur dalam saham, jual beli saham kemudian mendapat untung, mereka tidak akan dikenakan cukai kerana dikatakan keuntungan modal.

“Tetapi ini tidak membayangkan keadaan sebenar kerana banyak juga individu ini yang tidak bekerja apa-apa.

“Hari-hari jual beli saham dan apabila mendapat untung tidak ada cukai kerana individu. Tetapi syarikat jual beli saham yang untung dikenakan cukai. Jadi ini merupakan satu bentuk diskriminasi juga dan menyebabkan sistem cukai kita kurang adil serta mempunyai kebocoran pendapatan yang tidak ada cukai,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button