Berita UtamaPendapat

Parti politik Melayu perlu ketepikan kepentingan diri demi agama, bangsa

Penyatuan hati, jiwa penting jamin nyawa dan kehidupan rakyat

POLITIK Malaysia bercelaru disebabkan Melayu-pribumi-muslim sebagai penduduk majoriti gagal mentafsirkannya mengikut mata hati, prinsip qada’ dan qadar dan dari aspek takdir Allah SWT.

2. Pertama, tanya diri kita kenapa PH muncul. Bukankah untuk kalahkan BN yang menyimpang jauh dari perjuangan asal untuk agama, bangsa dan tanah air dalam konteks negara yang berbilang keturunan?

3. Kemudian, tanya kenapa PH tumbang? Bukankah sebab setelah mencapai misi menyelamatkan Malaysia dari cengkaman kleptokrasi, PH mula digugat sengketa dalaman akibat jawatan PM. Dan juga sebab sesetengah komponen PH mula mengancam keselamatan jati diri Malaysia dan keselamatan sosioekonomi peribumi?

4. Lepas itu kita kaji kenapa Tun Dr Mahathir Mohamad letak jawatan PM dan BERSATU tinggalkan gabungan PH. Bukankah ini takdir Allah untuk menyelamatkan Malaysia daripada kehancuran akibat politik yang tidak stabil, akibat jati diri nasional yang diancam oleh gelagat sesetengah komponen PH, dan akibat sosioekonomi peribumi yang juga terancam oleh gelagat yang sama.

5. Jadi, cuba kita guna mata hati untuk kaji semua perkembangan ini dalam konteks takdir serta kekuasaan Allah untuk selamatkan Malaysia, Melayu-pribumi-muslim dalam konteks negara berbilang keturunan.

6. Oleh itu, kemunculan kerajaan PN juga perlu dikaji dengan mata hati dalam konteks takdir dan kekuasaan Allah.

7. Jika ini boleh diterima oleh seluruh khalayak politik Melayu-pribumi-muslim, maka apa yang perlu di lakukan adalah untuk mengukuhkan PN.

8. Ini boleh dilakukan jika semua parti politik Melayu-pribumi-muslim memberikan sokongan penuh kepada PN dan sanggup mengenepikan semua kepentingan diri, demi agama,bangsa dan tanahair.

9. Kerenah untuk menumbangkan PN menerusi omong-omong kosong seperti dakwaan kononnya sebuah parti tertentu mempunyai jumlah yang cukup untuk membentuk kerajaan Persekutuan adalah tindakan yang tak perlu di alu-alukan.

Sebaliknya dalam keadaan negara sedang diancam pancaroba COVID-19 ini, seluruh parti politik Malaysia perlu memikirkan soal menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

10. Jika ini boleh di lakukan ia mencerminkan kesanggupan parti politik Malaysia menerima takdir dan prinsip ketuhanan dalam perjalanan politik negara pada ketika kita dicengkam pancaroba.

11. Dalam pancaroba dan sewaktu kita sedang di duga, penyatuan hati dan jiwa adalah penting untuk menjamin nyawa dan kehidupan rakyat Malaysia. Kini masanya untuk kita memulakan langkah perjuangan yang selaras dengan ajaran dan tuntutan Allah.

12.Berhentikan tindakan ugut mengugut antara kita sesama kita. Mandat politik daripada rakyat jangan dikhianati semata mata untuk memenuhi nafsu peribadi kerana ini tidak selari dengan prinsip dan tuntutan Allah SWT.

Datuk Dr Ruhanie Ahmad
Penganalisis Keselamatan

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button