Berita Utama

Yayasan Maghfirah rayu dana bantu golongan susah dapat kit kesihatan

Kempen Essential Kit sasar kutip dana sehingga RM600,000

BANGI, 28 Safar 1442H, Jumaat – Yayasan Maghfirah memerlukan dana sebanyak RM600,000 bagi menjalankan ‘Kempen Essential Kit’ untuk disumbangkan kepada golongan yang terjejas di kala penularan pandemik COVID-19, ketika ini.

Kempen Essential Kit ini adalah kit kesihatan yang mengandungi pelitup muka dan cecair pembasmi kuman.

Kit yang bernilai RM30 ini disasarkan untuk diberikan kepada 20,000 penerima di seluruh negara.

Inisiatif ini diambil susulan perintah kerajaan yang mewajibkan setiap rakyat untuk memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam yang sesak.

Manakala, kompaun sebanyak RM1,000 akan dikenakan kepada rakyat yang gagal mematuhi arahan tersebut.

Pun begitu, Yayasan Maghfirah menegaskan, tidak semua keluarga berkemampuan untuk terus mengadakan stok pelitup muka di rumah masing-masing kerana kesempitan hidup dan keadaan ekonomi yang semakin meruncing.

“Penyediaan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman bukanlah perkara penting yang perlu diberi perhatian bagi sesetengah pihak. 

“Membeli makanan untuk anak-anak dan keperluan harian lebih diutamakan,” katanya.

Berkongsi pandangan yang sama, Presiden Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan yang mengajak orang ramai untuk meringankan beban golongan kurang berkemampuan dengan menyalurkan dana buat kempen ini.

“COVID-19 telah memberikan impak kepada rakyat. Ada yang dibuang kerja, menganggur dan juga terjejas pendapatan. Ada golongan yang kesusahan dan tersepit. 

“Kita lihat kerajaan telah mewajibkan rakyat untuk menggunakan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman. 

“Justeru, sama-samalah kita berkerjasama dengan Yayasan Maghfirah untuk mendanai projek pembelian pelitup muka dan pencuci tangan supaya kita dapat melindungi mereka daripada penyakit COVID-19 ini,” katanya

Orang ramai yang berminat menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui pautan Billpliz: https://www.billplz.com/EssentialKit

Selain itu, sumbangan juga boleh disalurkan melalui akaun Yayasan Maghfirah CIMB: 8603221427 dengan kata rujukan ‘Essential Kit’.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button