Gangguan bekalan air di 686 kawasan di Selangor malam ini
Bermula 9 malam tadi, dijangka siap sepenuhnya pada 8 pagi esok

KUALA LUMPUR, 29 Safar 1442H, Sabtu – Sebanyak 686 kawasan di Wilayah Petaling, Gombak, Klang/Shah Alam, Kuala Lumpur dan Hulu Selangor, akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula 9 malam ini, berikutan henti tugas separa Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).
Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan malam ini menyatakan,gangguan itu adalah bagi membolehkan kerja pembaikan paip bocor yang menyalurkan air terawat dilakukan.
“Kerja-kerja pembaikan paip bocor ini dijangka siap sepenuhnya pada 8 pagi 18 Oktober. Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat dan sistem rawatan loji akan kembali seperti biasa pada 2 petang,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai boleh merujuk lokasi gangguan bekalan air tidak berjadual tersebut di semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor iaitu di Facebook, Twitter, Instagram, aplikasi telefon pintar Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com.
Air Selangor juga akan memaklumkan perkembangan kerja-kerja pembaikan paip itu dari semasa ke semasa. – Bernama