Berita Utama

27 peratus rakyat masih minat melancong walau dilanda COVID-19

Sebahagian besar mereka masih tak tahu pilihan ditawarkan

BANGI, 29 Safar 1442H, Sabtu – Meskipun terlalu awal menyatakan industri pelancongan akan kembali pulih, namun terdapat beberapa petunjuk boleh membantu perniagaan dalam industri itu mengharungi saat getir COVID-19 untuk enam bulan akan datang.

Ketua Negara Google Malaysia, Marc Woo berkata, langkah awal yang perlu dilakukan adalah dengan memberi tumpuan kepada pelancongan domestik.

Berdasarkan tinjauan terkini Google Consumer Survey pada Ogos lalu, Marc berkata, 27 peratus rakyat Malaysia masih berminat melancong dalam negeri sepanjang enam bulan terdekat ini.

Bagaimanapun, katanya, sebahagian besar daripada mereka masih tidak mengetahui pilihan yang ada malah giat mencari pilihan yang boleh direbut.

Beliau berkata, perkara itu menyebabkan mengapa pencarian istilah ‘staycations’ (penginapan) dan ‘attractions’ (tarikan) memuncak di Google Trends sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

“Menyemarakkan kesedaran destinasi tempatan membantu industry kembali melangkah dalam jangka pendek.

“Tahukah anda Taman Negara boleh dilawati secara maya menggunakan Google Maps atau sisi lain Melaka dapat diteroka melalui Google Arts and Culture kami,” katanya.

Mengulas mengenai perkara sama, Marc berkata, keperluan keluarga, kebersihan dan fleksibiliti perlu dipenuhi.

Beliau berkata, hasil tinjauan mendapati bahawa faktor keinginan merapatkan hubungan kekeluargaan ketika melancong adalah pada kadar 32 peratus.

Selain itu, katanya, faktor berpasangan adalah pada kadar 13 peratus, percutian bersama rakan (11 peratus), kebersian dan pengurusan kebersihan (40 peratus) manakala dasar pembatalan yang fleksibel pada kadar 33 peratus – sebagai pertimbangan utama tempahan pelancongan akan datang.

“Maka, perniagaan menonjolkan elemen keluarga dan kebersihan melalui foto dan ulasan di Carian Google atau Google My Business akan lebih menyerlah kepada penggunjung,” katanya.

Malah, beliau turut menyarankan supaya memantau sentimen dalam masa nyata.

Beliau memberi contoh apabila kerajaan membenarkan pelancongan domestik kembali beroperasi pada 10 Jun lalu, sebanyak 2.5 kali ganda lonjakan pencarian hotel di Google Trends dalam bulan sama.

Tambahnya, Google Trends boleh diakses oleh orang awam dan pengguna digalakkan mengambil peluang ke atas pencarian yang bukan sahaja mudah, malah berharga.

“Tidak kiralah bagaimana strategi anda, perniagaan dalam industri pelancongan akan memperoleh manfaat daripada pemahaman cara berkongsi maklumat tepat dalam talian, selain meletakkan diri sebagai destinasi percutian yang relevan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Marc berkata, Google Malaysia dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATTA) menganjurkan siri webinar khas di bawah inisiatif Mahir Digital Bersama Goofle demi membantu perniagaan pelancongan berhubung dengan pengguna secara dalam talian.

Pemilik perniagaan dan individu persendirian boleh mengikuti latihan percuma serta melengkapkan diri dengan pengetahuan digital yang relevan untuk membantu memulakan kehadiran dalam talian mereka, katanya.

“Google turut menyediakan sumber tambahan. Jadi, layari laman web Grow with Google (grow.google) dan Think with Google (thinkwithgoogle.com) ataupun sertai kami dalam bengkel maya Mahir Digital Bersama Google (http://goo.gle/my-mahirdigital).

“Perjalanan kembali ke pelancongan pra-COVID mungkin dirasakan jauh tak berpenghujung, namun separuh daripada pertarungan sudah dimenangi jika kita sentiasa bersedia,” jelasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button