Berita Utama

Bajet 2023: iGuru harap isu jurang pendidikan bandar, luar bandar ditangani

Syor bina sekolah baharu di kawasan padat penduduk

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 23 Safar 1444H, Isnin – Meskipun Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa menerima jumlah terbesar dalam belanjawan setiap tahun, Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) masih berharap peruntukan itu terus ditambah dalam Bajet 2023 nanti. 

Perkara itu penting untuk KPM memacu masa depan sektor pendidikan seiring kemajuan dunia digital hari ini.

Bajet 2022 menyaksikan sektor pendidikan menerima peruntukan tambahan sebanyak RM2.2 bilion iaitu RM52.6 bilion berbanding RM50.4 bilion pada tahun 2021.

Walaupun berpuas hati dengan sejumlah besar peruntukan itu, Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan mencadangkan supaya jumlahnya ditambah 10 hingga 30 peratus untuk tahun hadapan.

Melalui pertambahan itu, KPM boleh memfokuskan untuk membaik pulih infrastruktur seperti penyelenggaraan bangunan sekolah dan memperluaskan pembelajaran digital melalui Smart TV serta akses jalur lebar khususnya di sekolah luar bandar.

“Ini bagi merapatkan jurang pendidikan sekolah bandar dan luar bandar.

“Selain itu, kita berharap kerajaan mempertingkatkan bantuan kepada sekolah daif, sekolah kebangsaan dan institusi sekolah swasta serta tahfiz,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Mohd Azizee berkata, belanjawan tahun depan perlu berfokus untuk menambah baik perisian kandungan pembelajaran membabitkan pelatihan, peningkatan pedagogi guru, pengajaran dan pembelajaran digital serta penggunaan kemahiran pengajaran di era teknologi maklumat.

“Keperluan untuk meningkatkan penguasaan murid di dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) memerlukan perbelanjaan besar.

“Bahkan, kerajaan juga perlu merapatkan jurang digital antara sekolah bandar dan luar bandar dengan meningkatkan jalur lebar dan kemudahan internet,” katanya.

Selaras dengan pertambahan murid dan guru, beliau turut mencadangkan KPM membina sekolah baharu di kawasan kepadatan penduduk untuk keberkesanan pendidikan.

“Mewujudkan asrama khas untuk sekolah luar bandar bagi menangani isu keciciran serta memberikan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak luar bandar.

“Ini bagi menangani isu 72 peratus pelajar yang enggan meneruskan pembelajaran selepas SPM,” katanya.

Bajet 2023 yang dijadualkan pada 28 Oktober akan dibentangkan di Dewan Rakyat tiga minggu lebih awal pada 7 Oktober depan.

Dilaporkan, pembentangan kali ini akan menumpukan empat agenda utama iaitu rakyat, perniagaan, ekonomi dan institusi kerajaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button