Pendapat

Apa pilihan YDPA dalam selesaikan kemelut politik?

Kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah beri dimensi baru kepada rakyat terhadap kuasa Agong

PERSOALAN sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sokongan yang cukup atau tidak, atau soal beliau layak menjadi Perdana Menteri atau tidak, atau soal Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu letak jawatan atau tidak atau lebih tepat lagi soal politik semata-mata, bukannya isu utama. Tetapi soal yang lebih utama ialah soal kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat buat waktu ini.

Semenjak pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, negara menjadi tumpuan dunia dan rakyat menjadi semakin gelisah. Pelabur-pelabur asing juga pasti tertanya-tertanya. Pendeknya, keadaan ekonomi negara akan menjadi tidak menentu. Dengan keadaan COVID-19 yang semakin merebak, apakah negara dan rakyat harus menjadi taruhan orang politik?

Kenyataan Yang Dipertuan Agong (YDPA) membayangkan betapa Baginda sendiri tidak gembira dengan keadaan politik yang ada sekarang. Kegagalan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan senarai terperinci ahli-ahli parlimen yang menyokong beliau menjadikan keadaan lebih parah. Bagaimana YDPA akan bersetuju jika Baginda sendiri tidak melihat senarai tersebut? Adakah cukup dengan sekeping surat sokongan dari presiden-presiden parti untuk YDPA membuat keputusan? Logiknya sudah pasti tidak.

Selaku Ketua Negara, YDPA kena berlaku adil kepada semua pihak. Satu kenyataan umum tidak mungkin boleh diterima tanpa YDPA membuat analisa terperinci termasuk bukti lengkap setiap ahli parlimen yang terlibat. Persoalannya, haruskah YDPA sekali lagi memanggil semua ahli parlimen seperti yang dibuat sebelum ini? Jika benar Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sokongan majoriti, apakah yang menghalang kemudiannya nanti Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Tun Mahathir pula mengatakan mereka ada majoriti? Bilakah ini semua akan berkhir?

Saya yakin keperihatinan YDPA terhadap rakyat mendahului berbanding kepentingan terhadap orang politik.

Namun jika orang politik masih keras kepala, YDPA ada 3 pilihan :-

i. Membubarkan parlimen menurut Perkara 55 (2):

Perkara 55(2) “Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen”.

Dalam keadaan penularan wabak COVID-19 sekarang, pilihan ini mempunyai risiko yang amat tinggi yang boleh menyebabkan kematian dikalangan rakyat.

ii. Mengumumkan darurat menurut Perkara 150 (1)

Pilihan kedua ini boleh dilakukan seperti yang diperuntukan dalam Perlembagaan :-

Perkara 150 (1) “Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.”

Pilihan ini pernah dilakukan pada tahun 1943 dan 1969 tetapi risikonya ialah banyak akta-akta yang ada hari ini mungkin tidak dapat dilaksanakan termasuk Akta Jenayah.

iii. Ambil alih kuasa menurut Perkara 39

Pilihan ini agak lebih ringan risikonya tetapi kaedah dan tatacaranya perlu diperhalusi agar tidak menimbulkan kekeliruan dikalangan rakyat.

Perlembagaan Persekutuan memberikan provisi kepada pilihan ini : –

Perkara 39: “Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan manamana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.”

Mana-mana pun pilihan yang dibuat YDPA, saya yakin ia berdasarkan lunas-lunas perundangan dan perlembagaan dan sudah pasti Baginda mempunyai pasukan perundangan yang pakar.

Kebijaksanaan YDPA menyelesaikan kes peletakan jawatan oleh Tun Mahathir dahulu memberikan keyakinan kepada rakyat akan kebijaksanaan dan ketelitian Baginda. Ia juga memberikan dimensi baru kepada rakyat terhadap kuasa YDPA yang selama ini di perlekehkan oleh ramai pihak.

Daulat Tuanku !

Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
17 Oktober 2020

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button