Dunia

Dakwa diseksa, 75 peratus tahanan penjara Tora Istiqbal mogok lapar

Tuntut siasat insiden 2 tahanan diseksa guna kejutan elektrik

KAHERAH, 29 Safar 1442H, Sabtu – Jumlah tahanan di penjara Tora Istiqbal di sini yang mengambil bahagian dalam mogok lapar kini meningkat hampir 75 peratus, sejak dilancarkan pada Ahad lalu. 

Kumpulan hak asasi manusia, We Record berkata, semua tahanan di sel A melancarkan mogok lapar, dan 70 peratus di sel B, sementara 50 peratus lagi di sel C. 

Tindakan itu diambil susulan menentang penyeksaan yang dikenakan ke atas dua tahanan menggunakan kejutan elektrik pada awal bulan ini.

Tahanan terbabit telah ditanggalkan pakaian, dan dibawa ke sel disiplin dengan hanya berseluar dalam.

Susulan itu, tahanan lain menuntut supaya siasatan dilakukan terhadap layanan buruk berkenaan, termasuk mogok lapar dengan makanan yang diberikan oleh pihak pentadbiran penjara. 

Bagaimanapun, tindakan sebahagian besar tahanan menyebabkan mereka yang berusia dan berpenyakit kronik berdepan masalah kesihatan akibat kekurangan makanan.

Bulan lalu, Menteri Dalam Negeri mengumumkan bahawa empat tahanan dan empat pegawai penjara terbunuh dalam cubaan melarikan diri daripada penjara Scorpion, salah satu penjara dalam kompleks Tora. 

Tidak lama kemudian, 15 tahanan politik di blok yang sama dituduh melakukan perkara sama, namun aktivis hak asasi meragui dakwaan itu. 

Kumpulan hak asasi curiga dengan dakwaan Kementerian Dalam Negeri, memandangkan penjara Scorpion adalah antara salah satu penjara paling selamat di negara itu.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button