Delegasi UAE ke Israel berbincang di lapangan terbang sahaja
Tiada sebarang lawatan, pulang pada hari sama akibat COVID-19

DUBAI, 29 Safar 1442H, Sabtu – Delegasi rasmi pertama Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke negara haram Israel berkemungkinan akan berada di lapangan terbang sahaja, berikutan penularan wabak COVID-19.
Delegasi berkenaan juga dijangka pulang ke tanah air pada hari yang sama dan tidak akan melakukan sebarang bentuk lawatan.
Israel melaksanakan perintah berkurung kali kedua dan dijangka menghentikan arahan itu mulai minggu hadapan.
Menteri Sains Israel, Izhar Shay berkata, kementeriannya mengambil bahagian dalam perbincangan dengan perwakilan UAE yang akan tiba pada Selasa.
Katanya, delegasi UAE membabitkan lapan atau sembilan kumpulan yang bekerja dalam pelbagai bidang sebagai lanjutan kepada perbincangan pada 31 Ogos lalu.
Izhar berkata, Israel akan menghantar delegasi pertamanya ke Bahrain pada Ahad.
Senarai penerbangan Israel menggunakan nombor EI Al 973 – kod dailan telefon antarabangsa Bahrain.
Bahrain belum mengesahkan lawatan delegasi ke Israel, yang menurut sumber diplomatik akan disertai oleh Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Steve Mnuchin dan utusan Timur Tengah AS, Avi Berkowitz.
Kedua-dua mereka juga dijangka menemani delegasi UAE ke Israel.
Pada 15 September lalu, UAE dan Bahrain menandatangani perjanjian normalisasi dengan Israel di halaman White House. – Agensi