Berita Utama

Kembalikan Jawi dalam subjek BM seperti awal kemerdekaan

Perjuang Jawi tak boleh dengan semangat saja, perlukan tindakan

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 29 Safar 1442H, Sabtu  Tulisan Jawi perlu disertakan dalam mata pelajaran bahasa Melayu seperti dilaksanakan kerajaan pada awal kemerdekaan dahulu, saran penyandang Kursi Za’ba Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Awang Sariyan.

Beliau yang berkongsi pengalamannya berkata, ketika memasuki tahun satu pada tahun 1960, kesemua murid diajar tulisan Rumi dan Jawi sehingga cekap membaca dan menulis kedua-dua tulisan itu.

Manakala pada 1970-an, katanya, Jawi dimasukkan dalam sukatan bahasa Melayu namun tidak diajarkan di dalam kelas.

“Dalam tahun 1970-an hingga 1980-an Jawi boleh diterima dalam peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), khususnya untuk bahagian karangan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini. 

Pada masa sama, Prof Awang turut mengesyorkan, salah satu soalan dalam mata pelajaran bahasa Melayu itu perlu berbentuk transliterasi, yakni pengalihan tulisan Jawi ke Rumi atau Rumi ke Jawi.

Di peringkat pengajian tinggi, terutamanya bagi kursus pengajian Melayu, tulisan Jawi perlu disertakan ke dalam kurikulum sebagai kajian manuskrip Melayu lama, katanya. 

Pada masa sama, beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menegaskan, bahawa setiap unsur kebudayaan termasuk tulisan Jawi tidak mungkin dapat berkembang jika hanya sekadar berasaskan semangat sahaja.

Hal ini kerana, katanya, segelintir individu yang bersemangat dalam memperkasa Jawi belum tentu mahir membaca dan menulis tulisan itu. 

“Setiap pencinta Jawi perlu mula membuktikan kecintaan kepada Jawi dengan menggunakannya dalam catatan, draf dan tulisan. 

“Sekarang dengan kesedaran terhadap Jawi sebagai tulisan bahasa Melayu sebagaimana yang dicatat dalam Akta Bahasa Kebangsaan, maka semua sektor perlu berusaha mengembangkannya dalam penggunaan. 

“Selain sektor pendidikan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat menyokong pengembangan Jawi dengan mensyaratkan aksara atau tulisan Jawi pada nama tempat, nama jalan, nama bangunan dan iklan di tempat awam,” tambahnya. 

Mengulas mengenai isu sama, Prof Awang turut menyeru pihak media untuk memainkan peranan dalam mengembangkan tulisan Jawi melalui siaran televisyen, radio, portal, laman sesawang dan media sosial. 

Bahkan katanya, kamus terbaharu terbitan DBP, iaitu Kamus Dewan Perdana telah menyertakan tulisan Jawi di setiap entri kata. 

“Perancangan sedang dibuat untuk menerbitkan edisi Jawi atau Rumi-Jawi bagi sejumlah terbitan seperti novel, bacaan kanak-kanak dan remaja dan juga karya ilmu, baik dalam bentuk bercetak mahupun digital atau elektronik,” jelasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button