Berita Utama

KKM tingkat kapasiti bendung penularan COVID-19 di Sabah

Pastikan sistem kesihatan awam, perubatan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Safar 1442H, Sabtu – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meningkatkan kapasiti dan mobilisasi aset serta sumber manusia dalam memastikan sistem kesihatan awam dan perubatan di Sabah terus mampan dalam membendung penularan COVID-19 di negeri itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata usaha itu termasuk meningkatkan kapasiti ujian makmal Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK Antigen) sebanyak dua kali ganda.

“Pada Julai, kapasiti ujian RT-PCR di Sabah adalah sebanyak 1,350 ujian. Kini, ia telah dipertingkatkan kepada 2,600 ujian RT-PCR sehari dengan penghantaran sampel RT-PCR setiap hari dilakukan ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) menggunakan perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Pos Laju.

“Perkhidmatan penyumberluaran kepada makmal swasta juga dilakukan, misalnya pada 16 Okt, sebanyak 4,327 ujian telah disumberluarkan kepada makmal swasta agar lebih banyak saringan dapat terus dijalankan di lapangan,” katanya dalam sidang media secara maya yang disiarkan melalui Facebook KKM hari ini.

Selain itu, kapasiti katil di sembilan hospital COVID-19 serta 21 Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di Sabah turut ditingkatkan 2.5 kali ganda, iaitu daripada 2,129 katil pada awal September kepada jumlah terkini iaitu 5,414 katil.

Dr Noor Hisham berkata hospital medan yang disediakan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Tawau akan menempatkan 100 katil bagi kegunaan pesakit bukan COVID-19, sekali gus memberi lebih banyak katil untuk digunakan pesakit COVID-19 di Hospital Tawau.

Setakat ini, kadar penggunaan katil (BOR) di Sabah adalah sebanyak 35 peratus, katanya.

KKM turut meningkatkan kapasiti katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan alat mesin bantuan pernafasan (ventilator) di Sabah yang diperoleh melalui peruntukan khas oleh kerajaan dan sumbangan daripada pelbagai pihak.

Terkini, sejumlah 180 ventilator dan 122 katil ICU disediakan dengan kadar penggunaan masing-masing adalah 32 peratus dan 72 peratus, termasuk digunakan bagi kes-kes bukan melibatkan COVID-19.

“Bagi meningkatkan jumlah katil ICU, KKM telah menyusun atur semula kawasan klinikal di beberapa fasiliti kesihatan di mana kawasan dalam hospital digunakan untuk diubah suai bagi tujuan rawatan pesakit kritikal COVID-19 (modular ward ICU). Ini membantu meningkatkan jumlah katil ICU yang sedia ada di Sabah.

“Inovasi bagi membolehkan satu mesin ventilator digunakan oleh dua pesakit COVID-19 juga telah diperkenalkan. Inovasi ini dipanggil ‘ventilator splitter’ iaitu menggunakan teknologi cetakan 3D yang telah dilaksanakan di beberapa negara lain,” katanya.

Dalam meningkatkan mobilisasi tenaga sumber manusia, seramai 767 anggota perubatan dan kesihatan awam KKM daripada pelbagai kategori dan skim perkhidmatan telah digerakkan ke Tawau, Lahad Datu, Semporna, Sandakan dan Kota Kinabalu.

Dr Noor Hisham berkata lebih ramai anggota akan dihantar kelak, iaitu 99 petugas yang bertolak ke Sabah pada minggu ini manakala 36 petugas kesihatan awam dan 63 petugas perubatan pada minggu hadapan.

KKM turut melaksanakan lantikan secara kontrak bagi 1,899 petugas kesihatan, tertakluk kepada kelulusan agensi pusat yang akan dimobilisasikan bagi kegunaan di negeri-negeri yang memerlukan, khususnya di Sabah.

“KKM juga telah mempergiatkan penglibatan lebih banyak anggota sukarelawan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan individu dalam menangani krisis ini dan setakat ini 4,794 pendaftaran telah diterima dan masih dalam proses saringan. Lebih ramai sukarelawan diseru untuk bersama-sama membantu KKM dalam usahasama ini. Setakat ini, dua NGO telah menghantar 15 anggota mereka ke Sabah,” katanya.

Bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan dan rawatan kepada kes-kes bukan COVID-19 tidak terjejas, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah telah berbincang dan menandatangani beberapa perjanjian dengan hospital swasta bagi tujuan penyumberluaran.

Hospital swasta yang terlibat dalam penyumberluaran ini ialah Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Gleneagles Kota Kinabalu, Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Hospital Pakar KPJ Sabah, Tawau Specialist Medical Centre dan Jesselton Medical Centre. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button