Berita Utama

Mansuhkan dulu skim pencen wakil rakyat, baru adil!

Akmal mohon cadangannya dipersetujui pemimpin kerajaan, pembangkang

BANGI, 13 Rejab 1445H, Khamis – Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh menyifatkan keputusan pemansuhan skim pencen untuk penjawat awam sebagai keputusan tidak adil kepada kakitangan kerajaan.

Meskipun memahami tekanan kewangan yang ditanggung kerajaan ketika ini, beliau berkata, pemansuhan skim pencen itu sewajarnya dimulakan oleh Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terlebih dahulu.

Katanya, tidak adil jika kerajaaan memansuhkan skim pencen penjawat awam, sedangkan wakil rakyat pula menikmati faedah itu sehingga akhir hayat.

“Tiada dua darjat antara wakil rakyat dan rakyat! Kerana kami percaya atas prinsip kepimpinan melalui tauladan.

“Mohon cadangan ini diambil kira dan dipersetujui oleh semua wakil rakyat sama ada dari kerajaan mahupun pembangkang,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Menerusi kenyataan itu, Akmal turut menyebut nama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Semalam, Zahid memaklumkan Kabinet bersetuju agar perjawatan bagi penjawat awam baharu berstatus tetap adalah tidak berpencen selepas ini.

Beliau berkata, satu pengumuman mengenai tempoh pelaksanaannya akan dibuat oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

Menurutnya, bagi penjawat awam sedia ada, status berpencen mereka tidak terjejas, sementara penjawat awam baharu itu akan membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button