Berita Utama

Lebih 50 banduan positif COVID-19 Penjara Reman makin sembuh

Ditempatkan di blok khas, tidak lagi tunjuk gejala penyakit

GEORGE TOWN, 29 Safar 1442H, Sabtu – Lebih 50 banduan di Penjara Reman Pulau Pinang yang positif COVID-19, telah mula menunjukkan perkembangan baik dan semakin sembuh daripada jangkitan itu.

Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang Mohamed Jusoh Ismail berkata, kesemua mereka kini ditempatkan di blok khas, iaitu berasingan daripada banduan-banduan positif COVID-19 yang lain di pusat rawatan dalam penjara.

“Lebih 50 banduan mula menunjukkan perkembangan positif untuk sembuh, malah mereka juga tidak lagi menunjukkan mempunyai gejala penyakit itu, jadi petugas Kementerian Kesihatan (KKM) asingkan mereka di kawasan ‘green zone’ iaitu blok khas untuk rawatan seterusnya.

“Manakala banduan yang lain (positif COVID-19) masih menerima rawatan di pusat rawatan dalam penjara dan mereka juga dalam keadaan stabil sekarang ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Seramai 27 banduan yang disahkan positif COVID-19 semalam, merupakan mereka yang tinggal dalam blok yang sama dengan kumpulan pertama banduan yang dijangkiti penyakit itu sebelum ini, dan sehingga semalam seramai 217 disahkan positif dengan satu kematian dilaporkan membabitkan Kluster Penjara Reman.

Mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang sedang dilaksanakan di Penjara Reman Pulau Pinang dan kawasan kuarters penjara itu, Mohamed Jusoh berkata sekarang ini berjalan lancar dan tiada masalah yang timbul, termasuk daripada segi bekalan makanan.

“Semuanya berjalan lancar sekarang ini dan tidak timbul masalah kekurangan makanan di kuarters, kerana kami menerima sumbangan daripada pelbagai pihak, malah saya juga mengalu-alukan pihak yang mahu menyumbang, yang boleh disalurkan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada kami,” katanya.

Sementara itu Pengarah Penjara Pulau Pinang Roslan Mohamed berkata, semua 19 banduan yang disahkan positif COVID-19 di Penjara Seberang Perai, di Jawi dekat sini dua hari lalu dan semalam, merupakan mereka yang tinggal di blok sama dengan mereka disahkan positif sebelum ini.

Sehingga semalam seramai 28 banduan di Penjara Seberang Perai telah disahkan positif COVID-19 dan semua mereka merupakan banduan yang baru masuk ke situ, iaitu antara dua minggu hingga tiga minggu lalu.

“Semua mereka dalam keadaan stabil dan dirawat di dalam penjara, mereka merupakan banduan-banduan baru yang dimasukkan ke situ dan tidak bercampur dengan banduan lama yang berada di blok lain. Proses ujian saringan COVID-19 masih dijalankan ke atas banduan baru, yang tinggal di blok sama dengan mereka yang positif,” katanya.

Ketika ini di Pulau Pinang terdapat dua kluster iaitu Kluster Penjara Reman dan Kluster Penjara Jawi, dengan semua kes membabitkan banduan yang ditempatkan di dua penjara itu.

Sehingga semalam, Kluster Penjara Reman merekodkan 217 kes positif COVID-19 dengan satu kematian manakala Kluster Penjara Jawi pula mencatatkan 28 kes. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button