Berita Utama

Penempatan haram pekerja didakwa cemar Sungai Langat

Sisa buangan, kotoran disalurkan ke perparitan berhampiran

KUALA LANGAT, 29 Safar 1442H, Sabtu – Kehadiran sebuah petempatan ‘kongsi haram’ yang menempatkan hampir 200 pekerja warga asing sebuah kilang memproses kertas di Taman Bakti di sini mengundang resah dalam kalangan penduduk di kawasan itu.

Mereka yang kebanyakannya terdiri daripada warga Indonesia dan Bangladesh mendiami kawasan rumah kongsi yang didirikan di atas tanah rizab Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu dalam keadaan tidak selesa, bersesak-sesak tanpa sebarang kemudahan asas termasuk sistem kumbahan yang tidak sempurna.

Sehubungan itu segala sisa buangan dan kotoran disalurkan ke perparitan berhampiran.

Seorang penduduk Mohd Ali Hasan @Ibrahim, 42, mendakwa keadaan itu menyebabkan berlaku pencemaran di sebuah kolam takungan air berhampiran, yang turut dijadikan tempat membuang sisa industri kilang tersebut sebelum memasuki Sungai Langat.

“Semasa kilang ini mula beroperasi lebih setahun yang lalu, terdapat lebih 1,000 pekerja mendiami kawasan itu, namun jumlahnya telah berkurangan setelah kita melaporkannya kepada pihak berkuasa,” katanya kepada Bernama.

Walaupun jumlah itu telah berkurangan kepada hanya sekitar 200 pekerja, penduduk tetap berharap pihak berkuasa mengusir kesemua mereka pada kadar segera kerana segala sisa kumbahan dialirkan ke parit dengan sewenang-wenangnya dan menyebabkan pencemaran di Sungai Langat, katanya.

Isu pencemaran di Sungai Langat menjadi perhatian pelbagai pihak selepas sebahagian besar penduduk di Lembah Klang terputus bekalan air selama beberapa hari baru-baru ini apabila operasi loji rawatan air terpaksa ditutup akibat pencemaran sumber air dari sungai itu.

Mohd Ali bersama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Alam Sekitar Kuala Langat Tan Ching Heng turut membawa wartawan dan jurugambar Bernama meninjau sendiri keadaan di ‘perkampungan’ warga asing itu bagi mendapatkan gambaran sebenar.

Untuk ke kawasan petempatan itu, penulis dan yang lain terpaksa berjalan kaki melalui denai yang membelahi kawasan semak berikutan laluan utama ke rumah kongsi berkenaan dihalang dengan palang besi yang dipercayai didirikan oleh pengusaha kilang.

Sebuah tapak ‘pasar sementara” untuk pekerja asing mendapatkan bahan basah turut ada di situ.

Selepas meniti batang konkrit yang menjadi laluan masuk ke kawasan petempatan itu, bau busuk menerjah hidung penulis dan pemandangan yang menyambut kami amat mengejutkan – lebih 300 kontena dan rumah kongsi memenuhi kawasan yang terlindung oleh tembok konkrit di belakang kilang berkenaan.

Pelitup muka yang melindungi hidung dan mulut penulis tidak mampu membendung bau tengik dan meloyakan tekak daripada menusuk deria bau kami, berpunca daripada penyaluran kumbahan ke kawasan parit berdekatan.

‘Perkampungan’ itu juga di kelilingi kawasan lecak yang digenangi air berwarna coklat pekat, dipercayai turut menjadi punca bau tersebut.

Tinjauan turut mendapati dua kolah air besar di kawasan rumah kongsi itu, dipercayai dijadikan tempat mandi pekerja.

Di sebuah rumah kongsi berkenaan tertampal satu notis amaran yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat kepada kilang itu atas kesalahan membina petempatan warga asing di atas tanah rizab TNB bersebelahan kawasan perindustrian Sungai Manggis.

Menurut notis itu, syarikat terlibat diminta mengosongkan dan merobohkan struktur binaan rumah kongsi berkenaan dalam tempoh 90 hari dari tarikh notis yang dikeluarkan pada 3 Sept lalu. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan pihak yang berkenaan diambil tindakan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM500,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu Tan berkata walaupun pihak berkuasa telah menyerbu kawasan tersebut pada akhir Ogos lalu, tindakan pengusiran hanya boleh dilakukan dalam tempoh tiga bulan selepas notis dikeluarkan.

“Kita lihat tidak ada tanda-tanda sebarang binaan di kawasan ini yang hendak dirobohkan dan pekerja juga masih tetap mendiami kawasan ini, sama seperti sebelum ini.

“Jadi kami mengharapkan satu tindakan yang lebih tegas dapat dilakukan oleh pihak berkuasa terhadap syarikat ini kerana bukan sahaja ia mencemarkan sistem perparitan tetapi juga boleh menyebabkan penyebaran virus COVID-19 kerana kawasan petempatan yang tidak sempurna dan sesak,” katanya.

Difahamkan kilang memproses kertas terpakai yang dibina di kawasan seluas 46 hektar itu dimiliki pelabur dari China dan telah mula beroperasi sejak penghujung tahun lalu.

Isu pencemaran air, udara serta bunyi daripada kilang itu telah beberapa kali dimajukan penduduk kepada pihak berkuasa dan Jabatan Alam Sekitar Selangor yang dihubungi mengakui menerima aduan mengenai isu kumbahan di petempatan haram pekerja kilang tersebut.

Pengarahnya Nor Aziah Jaafar berkata isu itu kini dalam tindakan Majlis Perbandaran Kuala Langat dan mereka telah diberikan tempoh tiga bulan untuk memindahkan rumah kongsi pekerja ke dalam kawasan kilang.

“Seperti yang tertera pada notis yang ditampal, mereka perlu memindahkan rumah pekerja itu kerana sekarang ia dibina secara haram di atas tanah rizab TNB.

“Namun saya tidak boleh mengulas panjang kerana isu ini di bawah bidang kuasa Majlis Perbandaran dan Pejabat Tanah Kuala Langat,” katanya sambil memaklumkan pihaknya akan membuat siasatan segera berhubung isu pelepasan sisa industri kilang itu ke Sungai Langat. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button