Berita Utama

Polis kesan 80,000 akaun keldai diguna untuk penipuan dalam talian

Kebanyakan pemilik tak tahu akaun diguna sindiket akaun keldai


KUALA LUMPUR, 29 Safar 1442H, Sabtu
– Lebih 80,000 akaun keldai milik individu yang membenarkan sindiket menggunakannya bagi aktiviti penipuan dalam talian dikesan dari 1 Januari 2019 hingga 9 Oktober lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Zainuddin Yaacob berkata, akaun keldai merujuk kepada akaun yang dibenarkan atau diberikan oleh pemiliknya kepada sindiket keldai akaun untuk digunakan pihak ketiga tanpa mengetahui tujuan sebenar penggunaan akaun itu.

Menurut beliau, sindiket ini memperdaya mangsa menyebabkan mereka sanggup ‘meminjamkan’ kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan nombor pin dengan bayaran antara RM200 hingga RM2,000 bagi setiap transaksi.

“Modus operandi sindiket ini untuk mendapatkan akaun berkenaan adalah melalui tawaran iklan di media sosial atau ditawarkan melalui rakan dengan jumlah bayaran tertentu.

“Antara alasan yang digunakan adalah untuk tujuan perniagaan dan sebagainya yang sasaran mereka terdiri daripada golongan yang memerlukan seperti penagih dadah, suri rumah dan pelajar,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.

Jelasnya lagi, dalam kes tertentu ada juga individu yang membuat pinjaman wang daripada along yang kemudiannya diarahkan untuk memberikan kad ATM dan nombor pin sebagai syarat untuk pembayaran semula.

Zainuddin berkata, pada tahun lepas, sebanyak 18,130 akaun keldai telah disita dan dibekukan manakala tahun ini sehingga 9 Oktober lepas, sebanyak 16,429 akaun juga telah diambil tindakan yang sama.

“Seramai 6,409 pemilik akaun itu telah didakwa pada tahun lepas dan seramai 3,176 orang dituduh setakat 9 Okt tahun ini.

“Mereka ini didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 412 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana memiliki harta curi,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan pemilik akaun ini tidak menyedari akaun mereka digunakan sindiket namun ada antara mereka yang sengaja memberikan nombor akaun untuk tujuan penipuan dalam talian.

Zainuddin berkata perkara itu jelas melanggar undang-undang dan boleh dikenakan tindakan jika didapati bersalah yang boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun serta denda atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai diingatkan untuk tidak bekerjasama dengan sindiket penipuan dalam talian ini dan sengaja memberikan nombor akaun mereka. Jika melihat ada transaksi yang mencurigakan, cepat-cepat buat laporan supaya tindakan segara boleh diambil,” katanya.

Tambahnya lagi, pihaknya sentiasa bekerjasama erat dengan institusi kewangan dan telekomunikasi serta penguat kuasa luar negara bagi membanteras dan mencari penyelesaian terbaik untuk kes-kes komersial khususnya jenayah siber.

Beliau sekali lagi mengingatkan orang ramai agar sentiasa membuat rujukan dengan bank berkaitan, serta portal kendalian Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu ccid.rmp.gov.my/semakmule atau laman sosial rasmi PDRM. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button