Berita Utama

Tanah Rizab Melayu peluang terbaik imbangi semula jurang ekonomi

Syor tanah rizab dimasuk dalam rancangan pembangunan khas

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 29 Safar 1442H, Sabtu – Tanah Rizab Melayu merupakan aset terbesar yang boleh menjadi peluang terbaik untuk mengimbangi semula keadaan ekonomi kaum majoriti itu di negara ini.

Ini selepas semua pihak perlu menerima hakikat yang orang Melayu sudah jauh ketinggalan berbanding kaum lain, meskipun banyak peluang disediakan untuk mereka maju ke depan.

Oleh yang demikian, Majlis Perundingan Melayu (MPM) menyarankan supaya Tanah Rizab Melayu dimasukkan ke dalam rancangan pembangunan khas.

Ketua Biro Tanah Gerakan Mempertahankan Kedaulatan Perlembagaan MPM, Che Ibrahim Che Idris menegaskan, melalui pembangunan khas itu, orang Melayu tidak lagi perlu bersaing dengan kaum lain.

“Isu paling ketara bagi orang Melayu adalah hak asasi daripada ekuiti. Jika kita penduduk asal, maka secara ekuitinya kita sepatutnya menikmati ekonomi yang mengikut kadar penduduk kita, tetapi ia tidak dicapai.

“Dan jika tidak dicapai maka tidak akan ada keselamatan, kemakmuran dan keamanan yang berkekalan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Che Ibrahim berkata, Tanah Rizab Melayu perlu dibangunkan dan tidak boleh disisih daripada rancangan pembangunan dan kemajuan Malaysia

“Maka, kita minta kerajaan menumpukan pada pembangunan Tanah Rizab Melayu, dan antara lain melihat pembangunannya dari sudut perbandaran, perindustrian dan tanah strategik seperti pelancongan.

“Kita juga sarankan supaya kerajaan memperbanyakkan perbandaran yang terancang secara komprehensif dan bersepadu dengan tempoh masa berjangka ditetapkan,” katanya.

Bagi memastikan pelaksanaannya lebih tersusun, beliau turut mencadangkan kerajaan mewujudkan satu kementerian khas yang mengawal selia pembangunan Tanah Rizab Melayu secara komprehensif.

“Kenapa tiada kementerian khas yang hanya fokus kepada pembangunan tanah rizab ini. 

“Saya kira, melalui kementerian ini, kita boleh lihat sendiri ‘progress’ dan perancangan berkaitan tanah itu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button