Berita UtamaDunia

12 maut letupan bom sasar ibu pejabat polis di Afghanistan

Lebih 100 cedera, jumlah kematian dijangka meningkat

KABUL, 1 Rabiulawal 1442H, Ahad – Sekurang-kurangnya 12 orang awam terbunuh sementara lebih 100 yang lain cedera dalam letupan bom kereta menyasarkan ibu pejabat polis di wilayah barat Ghor, hari ini.

Serangan itu berlaku di Feroz Koh – ibu kota Ghor – wilayah yang tidak mengalami banyak keganasan dibandingkan dengan wilayah lain di negara yang dilanda konflik itu.

Kementerian Dalam Negeri mengesahkan, letupan bom kereta berlaku di hadapan ibu pejabat polis Ghor kira-kira pukul 11 pagi waktu tempatan (2.30 petang waktu Malaysia).

Sementara itu, Pengarah hospital di Ghor, Mohammad Omer Lalzad berkata, kakitangan kecemasan merawat puluhan yang cedera dan menjangkakan jumlah kematian akan meningkat.

Pegawai kesihatan turut memaklumkan mangsa letupan juga terdiri daripada anggota pasukan keselamatan.

Jurucakap Gabenor Ghor, Aref Abir berkata, letupan kuat itu memusnahkan bangunan berdekatan yang mengendalikan wanita serta orang kurang upaya (OKU).

Tidak ada pihak mengaku bertanggungjawab berhubung letupan itu, bagaimanapun pertempuran antara Taliban dan kerajaan dilihat meningkat dalam minggu lalu.

Rundingan damai antara Taliban dan kerajaan Afghanistan dimulai di Qatar pada September lepas, namun keganasan terus berlanjutan di lapangan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button