Desak perubahan demokrasi, 20,000 sertai bantahan di Bangkok
Ditembak meriam air selepas tuntut PM undur diri, perbaharui monarki

BANGKOK, 1 Rabiulawal 1442H, Ahad – Puluhan ribu rakyat Thailand mengadakan bantahan yang memasuki tiga hari berturut-turut di ibu kota, sekali lagi menentang larangan mengadakan perhimpunan.
Mereka berkumpul sekurang-kurangnya di tiga lokasi berasingan, walaupun sebahagian besar sistem pengangkutan awam di Bangkok digantung.
Lokasi tunjuk perasaan – Lat Phrao, Wongwian Yai dan Udomsuk – diumumkan di media sosial pada waktu singkat dalam usaha untuk berdepan pihak berkuasa yang telah menutup sebahagian bandar yang disyaki akan digunakan untuk bantahan.
Bantahan itu diadakan bagi mendesak Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha meletak jawatan serta pembaharuan monarki.
Ramai pihak yang menyatakan kemarahan mereka terhadap penggunaan meriam air oleh pihak berkuasa terhadap penunjuk perasaan pada hari Jumaat.
“Kami tidak memiliki baju besi, hanya payung,” kata seorang pegawai awam berusia 25 tahun kepada AFP.
Seorang lagi penunjuk perasaan – dikenali sebagai Min – yang membawa topi keledar dan topeng gas berkata: “Saya prihatin terhadap keselamatan diri tetapi jika tidak keluar, saya tidak mempunyai masa depan.”
Selain itu, penunjuk perasaan juga membawa papan tanda mengatakan “Anda tidak boleh membunuh kami, kami ada di mana-mana”.
Kebanyakan penunjuk perasaan juga menunjukkan tabik tiga jari sebagai simbolik mendesak perubahan demokrasi.
Tabik gaya itu mengambil contoh daripada kisah dalam filem popular Hollywood, Hunger Games.
Bangkok Post mengatakan kira-kira 20,000 orang telah menyertai tunjuk perasaan.
Semalam, sebahagian besar polis menjaga jarak, berbeza dengan taktik yang digunakan untuk meleraikan protes pada Jumaat.
Khamis lepas, kerajaan berusaha mengekang gerakan tunjuk perasaan yang dipimpin oleh mahasiswa dengan mengisytiharkan perintah darurat dan menyekat aktiviti perhimpunan lebih daripada empat orang, serta termasuk larangan memuat naik sebarang kenyataan di dalam talian yang berupaya mengancam keselamatan negara.
Langkah itu dilaksanakan kerajaan Thailand dalam usaha menangani gerakan tunjuk perasaan, diterajui golongan belia yang berterusan mendesak supaya Perdana Menteri meletakkan jawatan dan mereformasi sistem monarki. – Agensi