Berita Utama

Isytihar darurat COVID-19 tak bawa kepada pemerintahan diktator

Kerajaan tetap fungsi seperti biasa, MKN diberi kuasa jelas

BANGI, 1 Rabiulawal 1442H, Ahad – Proklamasi atau pengisytiharan darurat untuk menangani wabak pandemik COVID-19, tidak akan membawa negara kepada pemerintahan diktator.

Felo Penyelidik (Undang-Undang dan Perlembagaan) Universiti Teknologi Malaysia, Dr Muhammad Fathi Yusof menjelaskan, proklamasi darurat dalam Perkara 150 bukan hanya untuk menangani masalah keselamatan dan ketenteraman awam, bahkan juga menyentuh soal ekonomi.

Beliau turut menyangkal kebimbangan orang ramai bahawa tindakan itu akan menyebabkan negara diperintah pihak tentera dan seluruh negara tertakluk kepada perintah berkurung.

“Tanggapan ini jauh dari hakikat sebenar. Dari sudut pemerintahan, proklamasi darurat COVID-19 tidak akan mengubah bentuk pemerintahan sedia ada.

“Kerajaan tetap boleh berfungsi seperti biasa kerana perubahan fungsi kerajaan di peringkat kementerian dan negeri-negeri tidak diperlukan bagi menangani COVID-19,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Dr Muhammad Fathi menyarankan negara menguatkuasakan proklamasi darurat COVID-19 bagi mengawal penularan pandemik itu.

Beliau dalam tulisan di Berita Harian pada 14 Oktober lalu menyifatkan, pengisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan adalah jalan terbaik menangani krisis kesihatan ini.

Dr Muhammad Fathi berkata, tulisannya itu bagaimanapun menimbulkan kebimbangan ramai kerana perintah darurat sering dikaitkan dengan kekacauan yang memerlukan pemerintahan tegas dan keras.

“Apa yang berlaku ialah pemberian kuasa secara jelas dan teratur kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menangani COVID-19.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan diisytiharkan, peranan aktif MKN telah digerakkan untuk menangani wabak ini. Tetapi dari sudut kuasanya agak kurang jelas dan janggal,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata, proklamasi darurat COVID-19 tidak sepatutnya dijadikan satu polemik atau ketakutan rakyat Malaysia.

“Kita mengharapkan dengan diisytiharkan darurat COVID-19, penguatkuasaan peraturan dan arahan berkaitan usaha menangani wabak termasuk PKP dan langkah-langkah lain dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.

“Selain itu, ia juga mampu menyediakan mekanisme yang dapat mengelakkan rakyat terjebak dalam pilihan raya umum dalam tempoh wabak ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button