Berita UtamaIstimewa

Negara akan terus berkonflik selagi ada ‘dinasour politik’

Tun M, Anwar, Najib didesak undur diri beri peluang generasi baharu

BANGI, 1 Rabiulawal 1442H, Ahad – Dipercayai konflik perebutan kuasa tidak akan ada kesudahannya, selagi dinasour politik negara masih bergiat aktif.

Dinasour politik ini antaranya Pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Berdasarkan pengamatan, Ketua Angkatan Pemuda Pemudi Parti Berjasa Malaysia (ANGKASA), Hazwan Mohamad menegaskan, sekali pun Anwar diangkat menjadi Perdana Menteri ke-9, ia tetap tidak akan merubah kitaran politik negara.

Sehubungan itu, beliau mendesak, ketiga-tiga pemimpin berkenaan berundur daripada kancah politik bagi memberi peluang kepada generasi baharu memimpin negara.

“Sebab itu anak muda perlu berhenti berbicara tentang politik lama dan politikus lama ini.

“Jasa mereka tetap dikenang, tetapi ini adalah masa generasi baharu pimpin masa hadapan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Hazwan mendakwa, percaturan politik sekarang sangat bergantung kepada ‘warlord’ parti-parti utama.

“Semuanya hanya memikirkan tentang kuasa dan kekayaan. Rakyat melihat pemimpin hanya memikirkan tentang perut masing-masing,” dakwanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah sekali lagi menegur, sikap ahli politik ekoran daripada kemelut yang melanda negara.

Dalam satu kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka menjelaskan negara masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan sukar akibat ancaman wabak COVID-19.

“Al-Sultan Abdullah turut mengulangi titah nasihat baginda kepada Ahli-Ahli Parlimen semasa Istiadat Perasmian Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 Mei lalu.

“Baginda menuntut kematangan dalam berpolitik dan memahami serta menjiwai keluh kesah rakyat dan tidak mengabaikan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button