Berita Utama

Tiba masa ‘reset’ semula geografi politik negara

Sudah-sudahlah bersengketa wahai politikus, rakyat jelak!

BANGI, 1 Rabiulawal 1442H, Ahad – Demi maruah agama, bangsa dan negara sudah tiba masanya geografi politik tanah air menekan butang ‘reset’ bagi menganjak paradigma lama kepada yang lebih bermanfaat.

Oleh yang demikian, golongan politikus dinasihat supaya sudah-sudahlah bersengketa kerana rakyat semakin jelak dengan karenah mereka yang kemarukkan kuasa.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim  Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar menegaskan, walaupun kesatuan adalah antara visi dan misi kebanyakan parti politik di Malaysia, namun ia hanyalah sekadar retorik semata-mata.

Dalam keadaan negara sedang berperang melawan COVID-19, beliau membayangkan adalah baik sekiranya tiada persengketaan politik berlaku, sebaliknya semua pihak menumpukan usaha meningkatkan ekonomi serta daya saing negara.

“Alangkah indahnya juga jika kita memberikan apresiasi sewajarnya kepada barisan hadapan kita yang mempertaruhkan nyawa mereka demi menjaga keselamatan kita.

“Berpolitiklah dengan objektif mahu membangunkan negara dengan menegakkan agama dan mentadbir negara dengannya.

“Mungkin sudah sampai masanya kita semua ‘menekan’ butang reset…meneliti fungsi dan peranan masing-masing dalam menggarap rumusan bagi bersama-sama membina negara dengan lebih cemerlang,” katanya dalam tulisan di Sinar Harian, hari ini.

Zainul Rijal berkata, sistem perundangan negara mempunyai nilai semak dan imbang, selain turut memperuntukkan formula perubahan pimpinan serta pembentukan kerajaan.

“Moleklah ia dikaji dan disepakati bersama berbanding heboh di media massa bagi menegakkan pendapat tertentu. Namun itulah politikus kita.

“Mutakhir ini kita lihat bukan sahaja kebebasan bersuara ini disalahgunakan seperti mengkritik dan merendahkan martabat kedudukan agama Islam dan raja-raja Melayu, tetapi ia juga digunakan untuk ‘membunuh’ karakter musuh politik masing-masing,” katanya.

Kata beliau lagi, kemelut seperti ini pasti tidak dapat ditangani sekiranya ahli-ahli politik masih lagi ‘bergasak’ antara satu sama lain.

“Kesedaran untuk bangkit semula mempertahankan maruah bangsa agama dan negara perlulah dipupuk semula dan menjadi teras perjuangan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button