Berita Utama

Atasi segera, jangan politikkan isu air, titah Sultan Selangor

Surat berkaitan isu bekalan air telah dihantar kepada kerajaan Persekutuan, Negeri sejak 2010

BANGI, 2 Rabiulawal 1442H, Isnin – Sultan Selangor, Sultan Shafaruddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dengan keluhan rakyat yang kini bukan sahaja bergelut wabak COVID-19, malah terpaksa berdepan masalah gangguan bekalan air yang terus berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan berkata, Sultan Sharafuddin telah banyak kali menulis surat kepada kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri berhubung isu bekalan air sejak 2010.

Katanya, baginda bertitah supaya masalah air tidak dipolitikkan dan diatasi dengan segera kerana ia adalah keperluan asas kehidupan rakyat.

“Surat baginda yang terkini mengenai isu gangguan bekalan air telah dihantar kepada Menteri Besar Selangor pada 8 September 2020.

“Dalam surat tersebut, baginda telah memberikan nasihat serta beberapa syor dan pandangan untuk mengatasi masalah bekalan air bersih, tetapi nampaknya ia tidak memberi kesan kerana masalah yang sama masih terus berlaku dan berulang sehingga menyusahkan rakyat yang baginda kasihi,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Mohamad Munir berkata, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan kebimbangan baginda terhadap peningkatan kes baharu COVID-19 di negara ini, khususnya Selangor yang telah mencapai jumlah tertinggi sejak Mac 2020.

Justeru, katanya, baginda menyeru rakyat supaya terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) serta tidak ingkar arahan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Nasional (MKN).

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor amat menghargai usaha para doktor dan jururawat serta petugas barisan hadapan yang bersungguh-sungguh untuk memberi rawatan kepada pesakit-pesakit COVID-19.

“Oleh yang demikian, janganlah membebankan petugas barisan hadapan kerana baginda mendapat tahu terdapat ramai rakyat yang masih tidak mematuhi arahan dan melanggar SOP yang telah ditetapkan,” katanya.

Tambahnya, Sultan Sharafuddin secara spesifik turut menasihatkan rakyat untuk terus berada di rumah serta tidak keluar sekiranya tiada keperluan mendesak, selain memakai pelitup muka apabila berada di tempat-tempat awam.

Katanya, baginda turut meminta individu-individu yang pernah pergi ke lokasi-lokasi berisiko atau kawasan berkategori zon merah supaya melaporkan segera kepada pusat kesihatan terdekat untuk melakukan saringan dan tidak menyembunyikan status kesihatan masing-masing.

“Tegas baginda lagi, fokus ketika ini adalah untuk memastikan risiko jangkitan dapat dikurangkan dan seterusnya menghapuskan penularan wabak COVID-19 di Malaysia,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button