Berita Utama

‘Datuk’ menyamar pegawai polis Bukit Aman ditangkap

Suspek ada 4 rekod jenayah lampau kes tipu di Selangor, KL

KUALA LUMPUR, 2 Rabiulawal 1442H, Isnin – Seorang lelaki berpangkat Datuk ditahan kerana disyaki menyamar sebagai pegawai kanan polis Bukit Aman untuk menyelesaikan pinjaman along.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek berusia 43 tahun itu ditahan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), susulan penahanan seorang lelaki yang disyaki along berusia 36 tahun pada 12 Okt lepas di Cheras.

Katanya, kedua-dua tangkapan dibuat berikutan laporan daripada seorang peniaga lelaki berusia 40 tahun pada 4 Okt lalu.

“Pada tahun 2017, mangsa (peniaga) membuat pinjaman dengan along sebanyak RM200,000 sebagai pusingan modal perniagaan dan telah membuat bayaran bulanan tanpa gagal sebanyak RM1,500 sebulan. Pada Mac 2020 mangsa tidak mampu membuat bayaran kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Semenjak itu, mangsa sering diganggu dan diugut along sehingga mendatangkan ketakutan,” katanya.

Katanya, peniaga itu telah berkenalan dengan lelaki berpangkat Datuk tersebut yang memperkenalkan diri sebagai seorang pegawai kanan polis dari Bukit Aman dan suspek menawarkan diri untuk membantu mangsa dengan menghubungi seorang lelaki tempatan yang dipercayai along yang memberikan pinjaman terbabit.

“Suspek telah berbincang dengan along itu kononnya suspek akan menyelesaikan hutang mangsa. Suspek telah menghubungi peniaga itu memberitahu bahawa segala urusan pembayaran hutangnya mestilah melaluinya. Mangsa menyerahkan wang sebanyak RM60,000 kepada suspek untuk melangsaikan hutangnya,” katanya.

Bagaimanapun, mangsa telah menerima panggilan mengatakan hutangnya dengan along masih belum selesai, sebelum membuat laporan polis.

Siasatan mendapati suspek yang bergelar Datuk itu mempunyai empat rekod jenayah lampau membabitkan kes tipu di Selangor dan Kuala Lumpur serta memiliki syarikat keselamatan.

Seorang lagi suspek disyaki terlibat dengan aktiviti kongsi gelap.

Katanya kedua-dua suspek direman masing-masing tiga dan tujuh hari serta kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Berlesen 1952, Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button