Elak pelajar pedalaman tercicir, guru perlu agih bahan mengajar
Letak di lokasi tertentu yang boleh diambil murid seperti balai raya

BANGI, 2 Rabiulawal 1442H, Isnin – Kaedah pengajaran secara konvensional perlu untuk memastikan pelajar yang berdepan kekangan internet atau gajet tidak tercicir sepanjang tempoh sekolah ditutup.
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, guru di luar bandar atau pedalaman tiada pilihan lain dan perlu turun ke kawasan kampung untuk mengagihkan bahan mengajar atau kerja rumah kepada pelajar.
“Kerja rumah atau bahan mengajar boleh diletakkan di lokasi seperti balai raya atau pondok tertentu yang boleh diambil oleh pelajar dan kemudian diletak semula di lokasi itu untuk dikumpul guru.
“Guru masih perlu turun ke padang berjumpa pelajar, atau pelajar boleh dibenarkan datang ke sekolah seminggu sekali secara bergilir untuk menyemak tugasan diberikan bagi mengelak keciciran berlaku.
“Mungkin kerajaan boleh membenarkan balai raya atau lokasi seumpamanya digunakan untuk sesi pengajaran beberapa kali seminggu dengan prosedur operasi standard (SOP) tertentu,” katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kebimbangan Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin, bahawa isu pelajar tidak hadir ke sekolah akibat penularan COVID-19 mengundang kesan keciciran pembelajaran.
Mohd Radzi dilaporkan mahu perhatian khusus diberikan kepada purata 15 peratus pelajar yang tidak hadir ke sekolah atas beberapa alasan tertentu.
Dalam perkembangan sama, Ustaz Azizee turut mengesyorkan Kementerian Pendidikan menggunakan saluran TV Pendidikan secara lebih agresif bagi memastikan pelajar luar bandar dan pedalaman dapat terus mengikuti sesi pengajian dan tidak keciciran.
Katanya, TV Pendidikan perlu dihidupkan kerana kebanyakan pelajar memiliki televisyen.
“Jika tiada, televisyen boleh diletakkan di balai raya dan pelajar di kampung boleh datang mengikuti pelajaran dengan mematuhi SOP ditetapkan.
“Bahan mengajar boleh dihimpun daripada yang pernah dimuat naik di saluran YouTube, atau guru menyediakan bahan mengajar tersendiri yang sesuai dengan situasi pelajar masing-masing,” katanya.
Mengenai pembelajaran secara maya, Ustaz Azizee mengakui ia masih menjadi cabaran besar buat guru berikutan jumlah pelajar yang mengikutinya secara konsisten masih sedikit – berdasarkan kajian i-Guru, hanya 20 hingga 30 peratus pelajar di seluruh negara mengikuti pembelajaran secara maya.
Justeru, beliau menggesa isu akses internet dan ketiadaan gajet ditangani segera kerana masalah pandemik ini dijangka berterusan untuk dua hingga tiga tahun akan datang.
Beliau turut menggesa Kementerian Pendidikan memikirkan alternatif pengajaran dan pembelajaran bagi tahun depan kerana jika situasi sedia ada berterusan, sekolah di lokasi wabak mungkin terpaksa dibuka dan ditutup beberapa kali.
Katanya, kementerian perlu mengkaji kaedah pengajaran paling sesuai tahun depan sama ada perlu kekalkan pengajaran secara bersemuka atau ada kaedah lain yang boleh dilaksanakan.
“Kedua adalah kaedah pentaksiran peperiksaan, adakah kekal cara lama atau disediakan pelan alternatif untuk menilai pelajar kerana jika Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan lagi, ia akan mengundang keresahan ibu bapa,” katanya.