Berita UtamaDunia

Iran mahu bekal senjata pada negara dibenci Amerika

Larangan senjata konvensional berakhir semalam selepas disekat 13 tahun

TEHRAN, 2 Rabiulawal 1442H, Isnin – Iran akan menjual senjata kepada negara-negara yang dibenci Amerika Syarikat (AS) sekiranya mendapat permintaan, kata Menteri Pertahanan, Brigadier General Amir Hatami.

“Iran telah mengadakan rundingan dengan beberapa negara – berkaitan pertukaran (senjata), sama ada menjual (senjata ke negara lain) atau membekalkan keperluan tertentu (membeli senjata).

“Sudah tentu penjualan jauh lebih banyak (daripada pembelian),” kata Amir Hatami dalam wawancara di televisyen, malam tadi.

Larangan senjata konvensional antarabangsa terhadap Iran, yang dikenakan 13 tahun lalu oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), berakhir secara rasmi semalam.

Ini bermaksud Iran secara sah dapat membeli dan menjual senjata konvensional, termasuk senjata kecil, peluru berpandu, helikopter dan kereta kebal.

Justeru, Menteri Pertahanan Iran mengatakan bahawa negara itu akan menyokong negara-negara yang berusaha mempertahankan kewujudan mereka sekarang selepas sekatan Majlis Keselamatan PBB terhadap perdagangan senjata Tehran berakhir.

Amir Hatami berkata, semua negara berhak untuk mempertahankan integriti wilayah mereka, dan Iran akan menjadi negara berusaha untuk menjaga keamanan.

Beliau mendakwa, sekatan yang dikenakan oleh AS terhadap Iran sebelum ini mendorong negara itu bergerak sendiri, sehingga kini dapat menghasil dan membekalkan 90 peratus keperluan pertahanannya di dalam negara.

AS dan negara haram Israel menentang keras penarikan semula larangan penjualan senjata dan telah berulang kali berusaha menghentikannya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button