Artikel KhasBerita Utama

Jangan pinggir ketuanan bangsa majoriti

Ambil iktibar isu di New Zealand, kebajikan rakyat melebihi politik

SEBAGAI rakyat jelata, kita menjunjung kasih di atas titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA), agar semua rakyat khususnya ahli politik supaya bermuhasabah, dengan tidak mengheret negara ke kancah politik tidak menentu. Lebih-lebih lagi dalam suasana pandemik COVID-19 yang menyaksikan rakyat terus berdepan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar.

YDPA mahukan kita semua mempamerkan kematangan dalam berpolitik. Baginda menasihatkan ahli-ahli Parlimen supaya memahami serta menjiwai keluh kesah rakyat dan tidak mengabaikan kesejahteraan rakyat.

Ahli-ahli politik seharusnya tidak mengakhiri perbezaan pendapat dengan permusuhan tetapi sebaliknya menyelesaikan permasalahan melalui perundingan dan proses perundangan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Titah ini sepatutnya menjadi panduan kepada kita semua.

Wahai saudaraku, duduklah semeja, berbincanglah. Perpecahan tidak akan menguntungkan, tetapi banyak merugikan. Musuh-musuh Islam dan ultra kiasu bertepuk tangan.

Mereka seronok melihat kita berseteru dan berpecah. Justeru, bersegeralah mencari jalan penyelesaian, terutama antara antara UMNO dan PPBM.

Jika perlukan kepada rombakan Kabinet untuk memberikan laluan lebih kepada UMNO, selaku parti yang paling banyak mendapat kerusi, lakukanlah segera. Jangan Tangguh lagi. Jangan perjudikan lagi nasib rakyat di tangan utra kiasu.

Kerajaan sedia ada, yang dipimpin oleh PN, mesti diperkasakan dan diperkuatkan, dengan muafakat antara PN, MN, GPS dan GRS.

Pastinya ultra kiasu akan menjadi cacing kepanasan.

Barisan Kabinet Sabah sudah memuktamadkannya. Ultra kiasu tidak mengundi GRS, maka tidak ada jawatan dalam Kabinet Sabah untuk mereka. Ini padahnya jika ultra kiasu terus dengan perangai ultra kiasunya.

Cuba contohi kebijaksanaan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, dalam berpolitik. Mengutamakankan rakyat dalam segala hal. Akhirnya, berjaya dalam PRU NZ baru-baru ini.

Populariti Adern melonjak tinggi kerana rekod cemerlangnya menguruskan negara sepanjang pandemik COVID-19 dan serangan masjid di Christchurch tahun lalu. Parti Buruh yang diketuainya berada di landasan yang betul untuk menang, tanpa rakan gabungan parti kecil seperti Greens dan New Zealand First (NZF), yang diperlukannya pada penggal pertama (2017).

Hingga hari ini, sempadan NZ tetap ditutup kepada orang luar. Begitu tegas. Inilah faktor kejayaan Ardern. Ardern tidak hiraukan kecaman. Sekat kemasukan imigran. Lebih-lebih lagi parti buruh bekerjasama dengan Parti New Zealand First (NZF) yang terkenal dengan anti imigran.

NZF ditubuhkan oleh ahli parti National yang keluar parti, kerana tidak tegas dalam soal imigran. Dalam PRU NZ 2017, Parti buruh mendapat 46 kerusi, National dapat 56.

Namun, parti buruh berjaya membentuk kerajaan dengan bergabung dengan NZF (9) dan Greens (8). Ketua NZF, Winston Peters dilantik menjadi TPM. Ketika itu, Ardern mengikut rentak NZF dalam dasar imigran dan kawalan sempadan kerana bimbang Peters menarik sokongan.

Seolah-olah ada kesamaan macam politik Malaysia pula.

Pendek kata, ketegasan Ardern dalam soal kawalan sempadan inilah menjadi beliau meraih kejayaan dalam PRU yang baru sahaja berlangsung. Majoriti yang diraih begitu selesa, tanpa perlu lagi bergabung dengan parti lain seperti sebelumnya sehingga terpaksa berkompromi menyerahkan jawatan TPM. Parti NZF hilang semua kerusi yang diperolehi sebelum ini.

Pemimpin parti NZF silap dalam percaturan. Jika tidak kemasukkan jawatan TPM, sudah tentu parti ini akan menjadi pihak ketiga yang kuat, berada di luar kerajaan, terus bekerja untuk rakyat. Apa nak buat, nasi dah menjadi bubur.

Tidak mustahil selepas ini, setelah Ardern menjadi PM semula, beliau mungkin kembali kepada dasar liberal, menerima semula imigran dan membuka sempadan. Yang penting kuasa sudah berada di tangan, kepercayaan rakyat sudah diperolehi. Rakyat sudah tidak nampak parti lain, kerana jasa dan ketegasan Ardern telah menenggelamkan dasar ‘ekstrem’ NZF.

Apakah kita tidak boleh merangka strategi sebegini meskipun dalam konteks berbeza?

Ingatan saya kepada UMNO, PPBM dan PAS (termasuk GRS dan GPS), dalam pembinaan negara bangsa, antara maqasid yang terpenting adalah kestabilan dan keamanan seperti strategi ketegasan dilakukan Ardern.

Antara nilai yang paling penting dalam mencapai maqasid tersebut adalah kekuatan dan integriti.

Semuanya dalam suasana normal hanya dapat dicapai melalui apa yang disebut sebagai ghalabah. Ia boleh diertikan sebagai dominasi. Dalam konteks demokrasi, ia boleh dirujuk kepada kemajoritian.

Justeru, apabila negara ini diperintah secara rohnya oleh bukan kaum Bumiputera yang adalah majoriti, kestabilan hilang, kedaulatan terancam dan ekonomi pun menjunam.

Isunya bukan soal wang ringgit semata, tetapi isu hati dan ketuanan. Bila ketuanan majoriti diancam, sesebuah negara tidak akan stabil. Kena pulak ada minoriti yang besar kepala. Jadi ia bukan isu mahu jadi abang long.

Apa yang ingin disampaikan adalah, kerajaan PH dahulu tidak stabil dan runtuh disebabkan oleh hakikatnya kerajaan yang mewakili tidak mengikut majoriti, memenuhi kehendak rakyat.

Iktibar ini perlu dijadikan pengajaran oleh kerajaan diterajui PN. Isu kemajoritian perlu juga diambil kira dalm sesuatu pemuafakatan.

Situasi mengizinkan minoriti (PPBM) menerajui dalam keadaan untuk menstabilkan negara dan mengurus negara berhadapan dengan pandemik umpama suatu rukhsah yang bukanlah bersifat kekal.

Dalam kata lain, ia hanya bersifat interim atau sementara. Cubaan mengekalkan rukhsah, pada hemat saya tidak akan mewariskan kestabilan pada negara ini.

Isu pentingnya adalah menjaga bangsa majoriti agar keamanan dan kestabilan dapat dikekalkan

Misalnya, apabila PAS cuba dikuasai oleh minoriti berkepentingan, dengan cara menguasai kedudukan-kedudukan penting dalam parti, PAS berada dalam tidak stabil. Akhirnya, PAS mengambil keputusan tegas menendang keluar nyamuk ini. PAS boleh menarik nafas lega.

Sama seperti UMNO, jangan terlalu memberi muka kepada MCA dan MIC sehingga lupa tentang ketuanan kaum Bumiputera yang semakin terpinggir.

Memang sedap didengar apabila menyebut perpaduan Melayu Cina India…etnik peribumi seakan-akan terpinggir. Sehinggakan berlaku pengalihan ketuanan dari ketuanan Bumiputera kepada ketuanan BN menyebabkan konspirasi persempadanan semula yang sengaja membanyakkan kerusi-kerusi campuran untuk dihadiahkan kepada MCA dan MIC.

Akibatnya, BN telah menerima akibatnya dalam keputusan PRU 14. Sebenarnya sejak PRU 13 lagi, kecenderungan non bumi untuk memenangkan ultra kiasu DAP jelas, tetapi UMNO buat-buat tak nampak, manakala MCA dan MIC buat-buat macam tak ada apa, harapan masih ada…

Kerajaan diterajui PN seharusnya dikekalkan fungsinya sebagai kerajaan rukhsah sebagaimana kita meraikan dan menerima norma ketidaknormalan pandemik buat sementara.

Biarpun norma pandemik masih terus berlangsung, tetapi negara seharusnya dikembalikan politiknya kepada norma dominasi majoriti.

Jika dalam konteks bangsa kaum Bumiputera yang kebetulannya didominasi secara internalnya oleh Melayu Islam, seharusnya diletakkan sebagai teras bernegara, begitulah juga dalam konteks sesebuah permuafakatan, dominasi seharusnya diserahkan kepada parti yang lebih majoriti, apatah lagi jika ia punyai kestabilan.

Justeru, PN walaupun agak berjaya menjadi akar dalam suasana sekarang, jangan sampai lupa bahawa yang lebih molek jika negara mendapat kerajaan yang bersifat rotan, kerajaan yang berteraskan kaum bumiputera dan parti terbesar.

UMNO dan PAS seharusnya balik kepada MN untuk PRU 15 akan datang. Tidak salah untuk menjemput PPBM tetapi biarlah kadar diri dan mengiktiraf kekuatan sahabat-sahabat.

Akhirnya, dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara bangsa, selama mana kaum Bumiputera tidak berani untuk menepuk meja, menyatakan ketegasan bahawa mereka teras kestabilan negara atas alasan integrasi kaum atau rahmatan lil alamin, maka selama itulah negara itu tidak stabil.

Dalam hal ini UMNO, PAS, GPS dan GRS, dilihat ada acuannya kerana hati majoriti Bumiputera ada bersama mereka.

Dalam masa yang sama, perlu diingat jika mahu negara yang stabil, sesebuah permuafakatan memerlukan parti yang stabil seperti GPS dan PAS. Jika ianya adakah parti dilompat atau melompat, apatah lagi berasal dari daerah parti lompat melompat, usah diharap negara ini akan stabil.

Maka parti-parti Bumiputera perlukan mekanisme yang menjadikan sesebuah parti bersifat stabil. Mungkin mekanisme baiah yang pernah menjadi isu terhadap PAS, boleh difikirkan dengan syarat ia disaring dengan syarat-syarat yang lebih bersifat politik kenegaraan bukan kepartian.

Begitupun PPBM yang tulen janganlah diketepikan, mereka sebolehnya diraikan berdasarkan kekuatan hakiki yang mereka ada. Benar, mereka sepatutnya lebih diraikan dari MCA dan MIC, paling kurang kerusi majoriti Melayu yang tergadai itu, mereka lebih layak diundi.

Tetapi jangan lupa antara syarat penting untuk negara ini terus ke hadapan, pastikan tidak ada parti, tokoh, mahupun individu masih menyurut di bawah kangkang dua tunggul bangsa sejak 1999. Kita perlu wajah baru dan wawasan baru. Anak cucu kita tak perlu lagi terperangkap dalam “Battle of the king” sebagaimana yang sama kita lalui 20 tahun.

Saya teringat kepada sebuah sajak karangan kawan saya yang bertajuk “dua tunggul….”

Dua tunggul
Singgul menyinggul
Antara dua siapa unggul
Marhaen ditertawa bagai bendul
Dua dekad dikeliru salah atau betul
Berarak dalam asap berkepul-kepul

Dua tunggul
Satu terpalit najisan pinggul
Satu terjerat ringgit dikumpul
Kini diikat angpau dalam satu bakul
Dibakar semalam yang tersampul
terpacul hangus seketul seketul

Dua tunggul
Berbara dalam simpul
Bertelingkah dalam sasul
Berzaman bangsaku otaknya ditumpul
Jadi pandir, jadi bahlul

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button