Berita UtamaIstimewa

Jangan terlalu beri muka pada MCA, MIC hingga lupa ketuanan Bumiputera

Ambil iktibar, PH runtuh disebabkan tak ikut kehendak majoriti rakyat

BANGI, 2 Rabiulawal 1442H, Isnin – Selagi mana kaum Bumiputera tidak berani bertegas menyatakan – mereka teras kestabilan negara atas alasan integrasi kaum atau rahmatan lil alamin – maka selama itulah negara tidak stabil.

Pemerhati politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, UMNO, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dilihat ada acuannya kerana hati majoriti Bumiputera ada bersama mereka.

Namun katanya, jika mahu negara yang stabil, sesebuah permuafakatan memerlukan parti yang stabil – jika parti dilompat atau melompat, apatah lagi berasal dari daerah parti lompat melompat, usah diharap negara ini akan stabil.

“Kita perlu wajah baru dan wawasan baru. Anak cucu kita tak perlu lagi terperangkap dalam ‘Battle of the king’ sebagaimana yang sama kita lalui 20 tahun,” katanya dalam artikel kolumnis disiarkan Ismaweb.net, hari ini.

Prof Ridhuan Tee turut mengingatkan UMNO, PN termasuk GPS dan GRS bahawa dalam pembinaan negara bangsa, antara maqasid yang terpenting adalah kestabilan dan keamanan.

“Antara nilai yang paling penting dalam mencapai maqasid tersebut adalah kekuatan dan integriti.

“Semuanya dalam suasana normal hanya dapat dicapai melalui apa yang disebut sebagai ghalabah. Ia boleh diertikan sebagai dominasi. Dalam konteks demokrasi, ia boleh dirujuk kepada ‘kemajoritian’.

“Justeru, apabila negara ini diperintah secara rohnya oleh bukan kaum Bumiputera yang adalah majoriti, kestabilan hilang, kedaulatan terancam dan ekonomi pun menjunam,” katanya.

Berdasarkan pengamatan Prof Ridhuan Tee juga, kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu tidak stabil dan runtuh disebabkan oleh kerajaan yang mewakili tidak mengikut majoriti dan memenuhi kehendak rakyat.

Justeru katanya, iktibar itu perlu dijadikan pengajaran oleh kerajaan diterajui PN yang mana isu ‘kemajoritian’ perlu juga diambil kira dalam sesuatu pemuafakatan.

“Situasi mengizinkan minoriti (BERSATU) menerajui dalam keadaan untuk menstabilkan negara dan mengurus negara berhadapan dengan pandemik umpama suatu rukhsah yang bukanlah bersifat kekal.

“Dalam kata lain, ia hanya bersifat interim atau sementara. Cubaan mengekalkan rukhsah, pada hemat saya tidak akan mewariskan kestabilan pada negara ini.

“Isu pentingnya adalah menjaga bangsa majoriti agar keamanan dan kestabilan dapat dikekalkan,” katanya.

Misalnya, apabila PAS cuba dikuasai oleh minoriti berkepentingan, dengan cara menguasai kedudukan-kedudukan penting dalam parti, PAS berada dalam tidak stabil.

“Akhirnya, PAS mengambil keputusan tegas menendang keluar nyamuk ini. PAS boleh menarik nafas lega. Sama seperti UMNO, jangan terlalu memberi muka kepada MCA dan MIC sehingga lupa tentang ketuanan kaum Bumiputera yang semakin terpinggir.

“Memang sedap didengar apabila menyebut perpaduan Melayu Cina India… etnik pribumi seakan-akan terpinggir.

“… Sehinggakan berlaku pengalihan ketuanan dari ketuanan Bumiputera kepada ketuanan BN menyebabkan konspirasi persempadanan semula yang sengaja membanyakkan kerusi-kerusi campuran untuk dihadiahkan kepada MCA dan MIC,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button