Berita Utama

Kadar kematian COVID-19 di Malaysia jauh lebih rendah dari negara lain

Lebih 65 peratus kematian adalah mereka yang berumur atas 60 tahun

BANGI, 2 Rabiulawal 1442H, Isnin – Kadar kematian COVID-19 di negara ini jauh lebih rendah berbanding negara lain, walaupun kes korban meningkat sejak akhir-akhir ini, kata pakar kesihatan.

Sehingga Sabtu, kadar kematian kes Malaysia (CFR) adalah 0.9 peratus, kata Prof Dr Moy Foong Ming dari Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Universiti Malaya (UM).

“Dengan membandingkan jumlah kematian COVID-19 dan CFR di negara-negara terpilih dan trend global, statistik Malaysia berada pada tahap rendah,” katanya.

CFR adalah nisbah antara jumlah kematian dan jumlah kes yang disahkan.

Menurut kumpulan data ‘Our World in Data COVID-19’ di rantau Asean, Singapura mencatatkan CFR terendah dengan kurang dari 0.1 peratus, sementara Thailand, Filipina, Brunei, Vietnam dan Indonesia mencatat 1.6 peratus, 1.9 peratus, 2 peratus, 2.4 peratus, 3.1 peratus dan 3.5 peratus masing-masing, pada hari Sabtu.

Di luar Asean, Amerika Syarikat mencatatkan CFR 2.7 peratus sementara United Kingdom (6.3 peratus), Korea Selatan (1.8 peratus) dan Jepun (1.8 peratus).

Statistik oleh Institut Penyelidikan Klinikal Kementerian Kesihatan pada 13 Oktober menyatakan bahawa CFR negara berada pada 1 peratus yang bermaksud – untuk setiap 100 orang yang dijangkiti virus, satu orang mungkin mati.

Sementara itu, Ahli Epidemiologi UM, Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud seperti dilapor The Star bersetuju bahawa kadar kematian meningkat lebih kerap, tetapi kadar sebenarnya menurun.

“Kadar kematian kes di Malaysia sekitar 1.4 peratus pada bulan Jun dan sekarang 0.9 peratus.  Penurunan ini sebenarnya disebabkan oleh peningkatan jumlah kes yang jauh lebih besar. 

“Justeru, peningkatan jumlah kematian sesuai dengan peningkatan jumlah kes,” katanya.

Tetapi beliau berkata, CFR adalah cara yang agak mudah untuk mengira kadar kematian, bagaimanapun sukar untuk membuat perbandingan secara langsung dengan angka kematian negara lain, kerana cara mereka menentukan kematian COVID-19 adalah berbeza, dan kadar ujian yang berbeza menjadikannya ‘tidak dapat dibandingkan.’

“Di seluruh dunia, trend menunjukkan lebih banyak warga emas meninggal dunia kerana COVID-19, tetapi perlu dilihat aspek demografi setiap negara sebelum membuat kesimpulan menyeluruh.

“Angka kematian kita jauh lebih rendah daripada banyak negara – AS, UK, Itali, Perancis dan Sweden – yang mempunyai sistem kesihatan yang jauh lebih maju daripada kita,” kata Prof Dr Awang. 

Setakat semalam, Malaysia mencatatkan 187 kematian. Statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan lebih 65 peratus kematian adalah mereka berumur di atas 60 tahun; kematian tertinggi membabitkan mereka berusia 60-an pada 30.6 peratus.

Mereka yang berusia 50-an mencatatkan 19.1 peratus kematian, manakala 70-an merekodkan 21 peratus. Mereka yang berumur di atas 80 tahun pula mencatatkan 14 peratus.

Tetapi mereka yang berumur kurang dari 30, antara 30 dan 39, dan mereka yang berusia antara 40 hingga 49 tahun mencatatkan kadar kematian yang lebih rendah masing-masing pada 2.5 peratus, 5.7 peratus dan 7 peratus.

Statistik juga menunjukkan bahawa kematian membabitkan golongan lelaki lebih tinggi (72 peratus).

Selain itu, lebih 80 peratus mangsa mempunyai sekurang-kurangnya satu masalah kesihatan lain.

Data menunjukkan bahawa 70 peratus daripada mereka yang meninggal dunia menderita diabetes diikuti dengan tekanan darah tinggi (64.9 peratus), penyakit jantung (23.4 peratus), kolesterol tinggi (19 peratus), penyakit ginjal (16.2 peratus), penyakit paru-paru (8.4 peratus), barah (5.2 peratus) dan penyakit hati (1.9 peratus).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button