Berita UtamaDunia

Masjid di Semenanjung Gaza dibuka semula

Palestin rekod 4,645 kes COVID-19 termasuk 27 kematian

BAITULMAQDIS, 2 Rabiulawal 1442H, Isnin – Pihak berkuasa Palestin membuka semula masjid di Semenanjung Gaza selepas ditutup lebih seminggu susulan pandemik COVID-19.

Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama memutuskan untuk menutup masjid-masjid di kawasan-kawasan yang dikategorikan sebagai zon merah – di mana sejumlah besar jangkitan virus direkodkan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian itu, puluhan masjid dibasmi kuman sebelum dibuka semula.

Ogos lepas, kementerian menutup semua masjid di seluruh wilayah Palestin berikutan pengesanan kes virus di wilayah itu.

Sebahagian masjid dibuka semula pada 4 Oktober di beberapa kawasan di semenanjung tersebut.

Kementerian berkata, semua langkah pencegahan, termasuk pemakaian pelitup muka, mesti dipatuhi oleh jemaah ketika menunaikan solat di masjid.

Pihak berkuasa kesihatan Palestin mencatatkan 4,645 kes virus, termasuk 27 kematian, di Semenanjung Gaza sejak Mac selepas kes pertama COVID-19 dilaporkan di luar kemudahan kuarantin bagi individu yang memasuki Gaza.

Gaza adalah rumah bagi dua juta penduduk Palestin di bandar, perkampungan dan kem pelarian di kawasan seluas 360 kilometer persegi (139 batu persegi), dengan sempadan ditutup oleh Israel dan Mesir. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button