Berita Utama

Pemulihan ekonomi terbantut jika kemelut politik berterusan

Jika kerajaan tak stabil boleh jejaskan pelaksanaan polisi dan dasar

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 2 Rabiulawal 1442H, Isnin – Ekonomi negara masih dalam proses pemulihan dan hanya dijangka akan pulih pada tahun hadapan sekiranya vaksin COVID-19 berjaya diperolehi. 

Faktor pemulihan juga turut dipengaruhi dengan pembukaan semula semua sektor ekonomi dan kebenaran merentasi sempadan negara, kata penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff. 

Beliau berkata, antara indikator ekonomi negara dalam pemulihan adalah kadar pengangguran yang menurun, nilai transaksi peruncitan dan pemborongan yang makin menampakkan peningkatan serta pelaburan asing secara langsung berjumlah RM64.8 billion dalam 6 bulan pertama tahun ini. 

Pun begitu, Pensyarah Kanan, Putra Business School (PBS) itu berkata, kesemua usaha pemulihan ini boleh terbantut jika berlaku ketidakstabilan politik. 

“Ini kerana jika kerajaan tidak stabil, ianya akan menjejaskan pelaksanaan polisi dan dasar berkaitan pemulihan ekonomi. 

“Lebih-lebih lagi Parlimen akan mendengar pembentangan Belanjawan 2021 tidak lama lagi dan tahun hadapan akan bermulanya Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketidakstabilan ini berpunca daripada pelbagai aspek, salah satunya apabila berlaku isu tidak percaya ke atas kepimpinan sedia ada. 

“Namun, saya masih yakin bahawa segala isu tidak percaya ini akan dapat diselesaikan dengan mudah melalui proses sedia ada, sama ada melalui Parlimen atau Yang Di-Pertuan Agong. 

“Jika isu ini dapat diselesaikan bulan depan dan kerajaan mendapat mandat yang kukuh, pelabur asing akan kembali mendapat keyakinan untuk kembali melabur kembali ke dalam Malaysia,” katanya.

Semenjak pengumuman Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim – kononnya memiliki jumlah majoriti Ahli Parlimen yang menyokongnya –  negara menjadi tumpuan dunia dan rakyat menjadi semakin gelisah.

Ia ditambah dengan kes COVID-19 yang semakin merebak – sehingga tercetus kebimbangan yang dijangka bakal melumpuhkan pertumbuhan ekonomi negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button