Berita Utama

Pencemaran di Sungai Selangor, 1,292 kawasan terjejas

4 LRA dihenti tugas, Air Selangor gerakkan lori tangki ke kawasan terjejas

BANGI, 2 Rabiulawal 1442H, Isnin – Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor jam 2 pagi tadi.

Air Selangor dalam satu kenyataan, hari ini berkata, henti tugas keempat-empat loji menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1,196,457 akaun.

Ia merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Air Selangor memaklumkan, bagi proses pencairan dan ‘flushing’ bahan pencemaran yang terdapat di dalam Sungai Selangor, tindakan segera sudah dilakukan dengan melepaskan air secara graviti dari HORAS 600 dengan kapasiti 285 juta liter sehari dan pelepasan air mentah dari empangan sebanyak 800 juta liter sehari.

Manakala, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melepaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam KL Larut dengan kapasiti 336 juta liter sehari untuk tujuan yang sama.

“Sehingga jam 6.30 pagi tadi, pencemaran masih lagi dikesan di Sungai Selangor pada tahap 1 TON,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pemulihan setakat jam 2 pagi untuk insiden henti tugas separa LRA SSP1 berikutan paip air terawat pecah mencapai kadar 80 peratus.

“Namun, berikutan insiden pencemaran bau ini membabitkan loji yang sama, maka pemulihan kawasan ini tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual yang diumumkan pada semalam,” katanya.

Sehubungan itu, Air Selangor menyediakan bantuan bekalan air dengan mengerakkan lori-lori tangki ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

“Air Selangor amat memahami situasi pengguna yang memerlukan air bersih terutama semasa peningkatan kes COVID 19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini dengan mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas.

“Maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang kami di www.airselangor.com,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button