Berita Utama

Perkasa Jawi di papan iklan, telefon pintar, pengangkutan dan bangunan awam

Segelintir pihak tolak Jawi sebab mereka sudah biasa budaya Barat

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 2 Rabiulawal 1442H, Isnin – Kerajaan perlu bertegas dalam usaha memperkasakan tulisan Jawi – warisan peradaban bangsa – bagi mendidik masyarakat menghargai tulisan yang menjadi identiti orang Melayu.

Tidak hanya pada buku, pemerkasaan tulisan Jawi boleh dilakukan melalui papan iklan, komputer, telefon pintar, nama jalan, pengangkutan awam, nama bangunan serta premis-premis perniagaan, kata Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican.

Profesor di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Ketamadun Islam (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu turut menyarankan tulisan Jawi diguna pakai pada kereta nasional di negara ini.

“Dalam hal ini, pendidikan awam antara perkara paling penting bagi memperkasakan Jawi – bagi mendidik masyarakat melalui pembentukan persekitaran.

“Malah, pendidikan berterusan tidak formal ini juga tangungjawab masyarakat, badan bukan kerajaan, dan sebagainya.

“Untuk fasa awal, kita perlu guna kedua-dua tulisan Jawi dan rumi. Ini mungkin untuk satu atau dua generasi lamanya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Dr Awang Sariyan mengesyorkan tulisan Jawi disertakan dalam mata pelajaran bahasa Melayu seperti dilaksanakan kerajaan pada awal kemerdekaan dahulu.

Penyandang Kursi Za’ba Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berkongsi pengalamannya berkata, ketika memasuki tahun satu pada tahun 1960, kesemua murid diajar tulisan rumi dan Jawi sehingga cekap membaca dan menulis kedua-dua tulisan itu.

Manakala pada 1970-an, katanya, Jawi dimasukkan dalam sukatan bahasa Melayu namun tidak diajarkan di dalam kelas.

“Dalam tahun 1970-an hingga 1980-an Jawi boleh diterima dalam peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), khususnya untuk bahagian karangan,” katanya.

Menyambut baik cadangan berkenaan, Prof Ahmad Murad mengakui tiada salahnya akhbar tulisan Jawi dikembalikan semula.

Katanya, akhbar Jawi tidak semestinya mempunyai muka surat tebal atau mengaut keuntungan semata-mata, namun yang lebih mustahak adalah tanggungjawab kerajaan dan agensi-agensi awam memberi pendidikan berterusan.

“Perlu ada pendekatan semula bahasa Melayu dalam huruf Jawi dengan memperkenalkan semula tulisan Melayu dalam huruf Jawi sebagai satu persekitaran di Malaysia,” sarannya.

JAWI TIDAK KUNO

Dalam perkembangan sama, Prof Ahmad Murad menolak persepsi segelintir pihak yang menyifatkan bahawa tulisan Jawi adalah kuno atau ketinggalan zaman, selain menegaskan pihak yang berpendapat demikian perlu membuka minda lebih luas.

Beliau berkata, hal itu terjadi disebabkan negara kita didedahkan dengan budaya Barat di Eropah yang mengamalkan bahasa-bahasa Anglo Saxon seperti Inggeris, Jerman, Sepanyol, Denmark, Sweden dan Itali yang menggunakan tulisan rumi.

“Bahasa Jerman, Perancis dan Belanda ditulis dalam skrip rumi. Kita telah terbiasa dengan pemikiran bahawa semua bahasa di Eropah guna skrip rumi. Namun, bahasa Slavic, Greek tidak guna skrip rumi.

“Ini bukan soal budaya Barat, tetapi kognitif dan budaya kita telah terbiasa dengan aksara dan skrip rumi. Sebab skrip dan aksara yang didedahkan itu mempengaruhi kita.

“Jangan sebab kita didedahkan dengan huruf rumi, maka kita anggap seluruh dunia menggunakan huruf rumi sebagai huruf universal,” katanya.

Pada peringkat antarabangsa, katanya, bahasa Arab yang ditulis dalam aksara Arab atau Jawi tersenarai dalam lima bahasa paling terkenal serta mempunyai jumlah pertuturan tertinggi di dunia selain bahasa Perancis, bahasa Inggeris dan bahasa Cina.

Beliau memberi contoh bahawa terdapat segelintir kaum yang menggunakan bahasa Tamil atau Urdu di India dengan tulisan Jawi atau Arwi dalam penulisan termasuk dunia perfileman.

Akhbar pertama bahasa Urdu yang menggunakan tulisan Arwi atau Jawi adalah Jam-i-Jahan-Numa, yang diterbitkan pada 1822 di Kolkata, India -Gambar Agensi

“Kalau kita pergi ke Iran atau mereka yang cakap (bertutur) Parsi, huruf atau aksara yang ditulis adalah menggunakan tulisan Arab atau Jawi.

“Ini termasuk bahasa Swahili juga menggunakan aksara Arab yang kita sebut sebagai Jawi. Jawi bukan hanya untuk Melayu, cuma nama di setiap tempat adalah berbeza. Dalam bahasa Tamil kita panggil tulisan Arwi, manakala dalam bahasa Hindi, kita gelarnya sebagai tulisan Urdu,” jelasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button