Berita Utama

Suspek Macau Scam peruntuk RM4 juta sebulan untuk sogokan

Wang dibahagi kepada pelbagai pihak termasuk pegawai polis yang disiasat SPRM

BANGI, 2 Rabiulawal 1442H, Isnin – Suspek kes Macau Scam dan sindiket perjudian dalam talian didakwa ‘membelanjakan’ antara RM2 juta hingga RM4 juta sebulan untuk pelbagai pihak menutup jenayahnya, lapor Utusan Malaysia.

Goh Leong Yeong atau popular dipanggil Alvin – yang juga menggunakan gelaran ‘Datuk Seri’ palsu – didakwa berbuat demikian bagi ‘menghidupkan’ aktiviti jenayahnya di Selangor dan Kuala Lumpur.

Sumber memberitahu Utusan Malaysia bahawa dana yang diterima dari Macau Scam dan aktiviti perjudian dalam talian telah dibahagikan di antara pelbagai pihak yang berpotensi untuk ‘meniup wisel’ berhubung kegiatan haram yang dikatakan telah bermula sejak lima tahun lalu.

Katanya lagi, siasatan mendapati hampir 100 orang mungkin menerima wang dari Alvin – yang kini diburu oleh polis selepas melarikan diri dari perkarangan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 11 Oktober lepas.

“Ini termasuk individu berpengaruh, pegawai dan polis yang telah ditahan atau disiasat oleh SPRM.

“Wang itu ‘dibayar’ untuk melindungi jenayah Macau Scam dan perjudian dalam talian serta memberikan maklumat jika pihak berkuasa merancang serbuan,” kata sumber itu.

Sumber berkata, agensinya masih menyiasat jenayah yang didakwa dilakukan oleh Alvin dan ketua sindiket lain.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, Goh dikehendaki bersabit siasatan membabitkan tiga kes mengikut Seksyen 4(1) (C) Akta Rumah Judi Terbuka.

Suspek telah melarikan diri sebaik sahaja dibebaskan dengan jaminan SPRM kerana terbabit dalam kes Macau Scam baru-baru ini.

Suspek dilihat menaiki kenderaan jenis Vellfire bersama peguamnya dan dua pengawal peribadinya.

Bagaimanapun setibanya di pagar utama bangunan berkenaan, tangkapan semula terhadap suspek oleh pihak polis bagaimanapun gagal selepas mendapati suspek tiada dalam kenderaan berkenaan.

Pemeriksaan Kamera Litar Tertutup (CCTV) mendapati suspek telah bertindak memanjat pagar untuk meloloskan diri dibantu dengan dua pengawal peribadinya sebelum menaiki sebuah lagi kenderaan yang menunggunya di luar pagar.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button