Berita UtamaIstimewa

Bagaimana nak daulatkan Islam selagi kapitalis Cina mencengkam?

Ahli politik ada kuasa, patut fikir cara majukan ekonomi umat Islam

BANGI, 3 Rabiulawal 1442H, Selasa – “Selagi mana orang politik kita masih berada di bawah naungan kapitalis Cina, selagi itulah negara ini tidak akan dapat mendaulatkan Islam.”

Demikian kata Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Hj Mohd Hazizi Ab Rahman dalam sebuah video yang disiarkan di laman Facebook, hari ini.

Bahkan, beliau berkata, jika ahli politik negara ini masih di bawah kuasa ekonomi dan duit kapitalis Cina, bukan sahaja syiar Islam, tidak dapat didaulatkan, malah ‘Rule of Law’ juga tidak terpakai.

“Amat jelas terutama jika ada perkaitannya dengan tauke judi, berkait dengan kepentingan perniagaan orang Cina. Sampai bila kita nak bergantung kepada ekonomi Cina.

“Yang memberi kesan kepada penguatkuasaan undang-undang dalam negara kita. Itu belum masuk nak melaksanakan undang-undang mengikut cara hidup Islam sepenuhnya, itu pun diganggu oleh kapitalis Cina,” katanya.

Beliau berkata, seharusnya apabila pemimpin Islam mempunyai kuasa, mereka sepatutnya menggerakkan untuk mengenggam kuasa ekonomi pula.

“Kuasa ekonomi kena dapatkan, baru boleh kita memerdekakan orang Islam. Sekarang ini merdeka pun dari sudut nama sahaja.

“Dari segi ekonomi kita tidak merdeka. Ini kerja ahli politik sepatutnya. Islam ini ada wasilah untuk mengukuhkan ekonomi.

“Tapi tiada siapa nak fikir benda tu, pemimpin negara tak fikir benda tu,” katanya.

Justeru, beliau menggesa, ahli politik berfikir bagaimana hendak menjana kekuatan ekonomi orang Islam di negara ini. 

Ianya termasuk syor untuk mengerjakan tanah wakaf yang berkeluasan ribuan hektar untuk dibangunkan dan dimanfaatkan umat Islam.

“Sepatutnya ahli PAS dan UMNO yang ada kesedaran Islam, pendidikan Islam, bawalah idea macam mana nak selesaikan tanah wakaf.

“Nak jana ekonomi daripada tanah tanah wakaf yang ribuan hektar, 31,000 hektar terbiar. Tapi ahli politik masih lagi sibuk cerita pasal berebut jawatan, perdana menteri, berebut kuasa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button