Delegasi UAE ke Israel memalukan!
Perjanjian dua hala hanya tingkatkan kuasa penjajahan

BAITULMAQDIS, 3 Rabiulawal 1442H, Selasa – Pegawai Palestin menyifatkan lawatan delegasi Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke negara penjajah Israel semalam ‘memalukan’.
Anggota Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Wasel Abu Yousef berkata, lawatan itu hanya akan mengesahkan jenayah tentera pengganas Israel terhadap Palestin.
“Perjanjian dua hala diumumkan hari ini dan delegasi yang datang dan pergi, semua itu memberikan kekuatan kepada penjajahan.
“Ia hanya meningkatkan lagi pencerobohan dan jenayahnya terhadap rakyat Palestin serta meningkatkan sikap tidak bertanggungjawab dan keangkuhan,” katanya.
Bercakap di Ramallah, di Tebing Barat yang dijajah Israel, beliau berkata, tindakan itu berlaku ketika Israel memperluaskan kegiatan pendudukan haram.
Ketibaan delegasi UAE turut mendapat kecaman di Semenanjung Gaza yang dikepung apabila jurucakap Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Hazem Qassem berkata, kunjungan seperti itu hanya akan meneruskan aneksasi tanah Tebing Barat secara beransur-ansur.
Warga Palestin di media sosial pula mengecam ‘double standard’ peraturan pengecualian visa untuk warga Emiriah dengan memaklumkan bahawa mereka tidak dibenarkan bergerak bebas di dalam dan ke wilayah Palestin yang dijajah.
Delegasi itu – lawatan rasmi pertama UAE ke Israel – disambut oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, Menteri Luar, Gabi Ashkenazi dan Menteri Kewangan, Israel Katz di Lapangan Terbang Ben Gurion pada Selasa lepas.
Lawatan lima jam itu terhad ke lapangan terbang berhampiran Tel Aviv, berikutan kebimbangan COVID-19, kata penganjur Israel.
Tindakan itu dilakukan setelah kedua-dua negara menandatangani perjanjian di Rumah Putih untuk menormalkan hubungan bulan lalu.
Lawatan ini membabitkan penandatanganan sejumlah perjanjian.
Menurut kenyataan dari kerajaan Israel, kedua-dua pihak akan menandatangani perjanjian penerbangan, perlindungan pelaburan serta sains dan teknologi. – Agensi