Berita Utama

Gangguan air: 162 kawasan pulih, 1,130 masih terjejas

Air Selangor terus gerakkan 121 lori tangki di premis kritikal

BANGI, 3 Rabiulawal 1442H, Selasa – 13 peratus daripada 1,292 kawasan terbabit dengan gangguan bekalan air tidak berjadual semalam telah menerima bekalan air sepenuhnya sejak jam 9 pagi tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan berkata, jumlah itu membabitkan 162 kawasan terjejas berikutan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang disebabkan berlaku pencemaran semalam.

““Manakala, 1,130 kawasan di wilayah yang terjejas masih lagi dalam proses pemulihan.

“Para pengguna dinasihatkan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar bagi kawasan-kawasan yang masih belum menerima bekalan air dan mengikut jadual pelan pemulihan bekalan air,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Air Selangor terus menggerakkan sebanyak 121 lori tangki premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis serta kawasan perumahan yang terjejas.

“Pengguna juga boleh mendapatkan bantuan bekalan air melalui pili-pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang disediakan untuk kemudahan pengguna semasa tempoh pemulihan bekalan air.

“Pengguna juga boleh merujuk senarai pili-pili awam dan PKS di laman sesawang www.airselangor.com.,” katanya.

Pada masa sama, Air Selangor menasihatkan para pengguna supaya mematuhi garis panduan Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semasa mengambil bekalan air dari lori tangki, PKS dan pili-pili awam.

Katanya, Air Selangor akan memaklumkan status pemulihan bekalan air dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi rasmi iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Intagram Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button