Berita Utama

ISMA rayu polis buru ‘kepala’ sindiket judi dalam talian

Imigresen belum dapat kesan 100,000 pelancong China yang lesap di Malaysia?

BANGI, 3 Rabiulawal 1442H, Selasa – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) – gerakan yang memperjuang isu-isu rakyat – merayu pihak polis segera mengesan ‘kepala’ sindiket perjudian secara dalam talian yang membabitkan warga China di negara ini.

Presidennya, Haji Aminuddin Yahaya yakin dengan cara itu sahaja sindiket berkenaan boleh ditumpas, memandangkan pihak Imigresen masih belum dapat mengesan 100,000 pelancong China yang lesap di Malaysia.

Beliau menyifatkan, sindiket itu seolah-olah mempunyai ‘sumber tenaga kerja’ yang tidak akan habis atau ‘unlimited’ kerana tidak pernah berkesudahan.

“Kita khuatir jika mereka ini bertambah kuat hari demi hari jika tidak ditumpaskan secara total. Pelbagai ancaman yang boleh negara hadapi.

“Siapa tahu, mereka ini oleh timbul sebagai sebuah kongsi gelap yang dahsyat? Atau sebuah kuasa ekonomi ‘gelap’ yang membahayakan kedaulatan negara?

“Bagaimanapun, syabas kepada pihak polis yang terus bekerja keras mengesan kegiatan-kegiatan sebegini yang pastinya tidak mudah. Kita doakan agar pihak polis terus diberikan kekuatan oleh Allah untuk memelihara negara kita ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menerusi kenyataan sama, Haji Aminuddin turut mengulas mengenai penangkapan 48 warga China kerana disyaki terbabit dengan kegiatan perjudian secara dalam talian di tiga unit kondominium di Jalan Ampang Hilir, pada 16 Oktober lepas.

Katanya, sindiket itu beroperasi sejak enam bulan lepas menimbulkan persoalan betapa hebatnya mereka sampai tidak dapat dikesan, meskipun mula beroperasi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat dan ketika itu juga, tangkapan-tangkapan terhadap warga asing sedang giat dijalankan.

“Kedua, mereka menyewa tiga unit kondominium mewah dengan kadar berbelas ribu seunit, maka jumlahnya mencecah berpuluh ribu untuk kos sewa sahaja. Itu belum lagi dicampur kos-kos lain terutamanya peralatan-peralatan canggih untuk perjudian dalam talian itu.

“Malah, jumlah rampasan menurut pihak polis mencecah RM250,000. Ini bermakna kegiatan mereka adalah kegiatan yang besar. Sudah pasti kegiatan yang besar sebegini didalangi oleh ‘kumpulan’ yang besar. Siapakah mereka?

“Ketiga, pihak polis menyebut bahawa pusat kegiatan ini hanyalah ‘calling center’. Ini bermaksud, ini hanyalah salah satu cabang, cawangan atau jabatan sahaja dalam seluruh sindiket ‘grand’ itu. Siapakah yang menaungi sindiket ini?,” soalnya.

Difahamkan, modus operandi yang digunakan sindiket berkenaan adalah mempromosi judi secara dalam talian bagi pasaran China dengan menghantar ratusan pesanan Wechat, WhatsApp, QQChat kepada pelanggan di negara berkenaan.

Menurut polis, sindiket itu turut menyasarkan kondominium mewah dan juga rumah banglo untuk dijadikan sebagai tempat beroperasi.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Rajab Ahad Ismail berkata, hasil pemeriksaan di ketiga-tiga premis itu, pihaknya merampas 245 telefon bimbit, 26 komputer riba pelbagai jenama, 15 unit CPU dan empat modem router.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button