Macau Scam: SPRM akan panggil dua artis terkenal
Individu ada kaitan dengan sindiket gagal hadir beri keterangan

BANGI, 3 Rabiulawal 1442H, Selasa – Seorang artis lelaki dan wanita dijangka dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung aktiviti pengubahan wang haram oleh sindiket Macau Scam dan perjudian dalam talian.
Memetik laporan media tempatan, dua artis terkenal yang terbabit dalam bidang lakonan dan pengacaraan antara beberapa artis dijangka dipanggil dalam masa terdekat.
Harian Metro memetik sumber sebagai berkata, dua individu terbabit – yang menjalankan perniagaan dan mempunyai lebih 1 juta pengikut di laman sosial – akan dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM, selepas tiada artis diminta tampil memberi keterangan secara sukarela.
“SPRM sudah memberi tempoh masa kepada individu terbabit untuk tampil, namun mereka berdua termasuk individu lain yang dipercayai ada kaitan dengan sindiket ini gagal hadir memberi keterangan.
“Susulan itu, SPRM akan memanggil mereka dalam masa terdekat untuk membantu siasatan,” katanya.
Pada 8 Oktober lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki meminta semua selebriti dan ahli perniagaan terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram supaya tampil membantu siasatan.
Arahan itu jelasnya, bagi mengelakkan SPRM menahan mereka yang berkenaan dalam masa terdekat.