Berita Utama

Masalah air pun diselesaikan, orang ramai kagum usaha pantas Ebit Liew

Ramai minta tolong, pusat dialisis dan klinik turut memerlukan bekalan air

BANGI, 3 Rabiulawal 1442H, Selasa – Berasa sayu dengan dugaan penduduk di Selangor yang berdepan dengan gangguan bekalan air, pendakwah dan sukarelawan terkenal, Ebit Liew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Liew, 36, tampil membantu orang ramai dengan memberikan bekalan air.

Dalam laman sosial Instagramnya, Ebit Liew memuat naik video dengan kapsyen, memaklumkan beliau telah membeli air sebanyak dua lori besar untuk diagihkan kepada penduduk sekitar Batu Caves, Selangor.

Pendakwah tersohor itu berkata, usaha beliau dan pasukannya digerakkan sejak jam 10 malam tadi sehingga kini di kawasan pinggiran Batu Caves.

Sumber foto: Facebook Ebit Liew

Ebit Liew berkata, beliau terlintas untuk berbuat demikian pada awalnya, selepas kediamannnya sendiri mengalami masalah bekalan air sehingga terpaksa dibelikan air mineral untuk keperluan anak-anak.

“Bila saya tengok rumah saya tiada air. Saya cepat-cepat belikan air mineral untuk anak-anak. Saya fikir macam manalah orang di luar sana. 

“Ya Allah. Sekali tengok orang beratur. Paling sayu pakcik makcik tua-tua nak air. Ada yang saya minta pembantu saya bantu angkatkan.

“Ada adik kecil-kecil sangat datang ambil air. Untuk masak dan minum agaknya. Ramai yang muda bantu yang tua,” katanya yang sayu dengan keadaan itu.

Sumber foto: Facebook Ebit Liew

Ebit Liew berkata, pengerusi flat serta Ahli Jawatankuasa (AJK) surau juga bersama-sama bertungkus lumus mengagihkan bekalan air kepada penduduk di situ. 

“Ya Allah. Bantulah semua negeri-negeri yang ada masalah air permudahkanlah ya Allah. Bukalah jalan buat kami semua.

“Mohon doa ya. Ramai sangat yang minta tolong. Ada pusat dialisis dan klinik pun memerlukan. Insya-Allah doakan semuanya dimudahkan,” katanya.

Sumber foto: Facebook Ebit Liew


Kagum dengan usaha Ustaz Ebit Liew, rata-rata netizen memuji tindakan beliau dan mendoakan agar urusannya dipermudahkan.

Salah seorang pengguna laman Twitter bernama Ain berkata, Ustaz Ebit tidak memerlukan sebarang pangkat untuk mula menyalurkan bantuan kepada yang memerlukan.

“Tidak perlu pangkat. Cukup lah niat dia hati kerana Allah. Itulah Ustaz Ebit.”

Manakala pengguna dengan nama Ibn Hajar @Haitamiyy pula berkata, ciri-ciri pemimpin itu ada pada Ustaz Ebit Liew. 

“Semoga Allah merahmati beliau dan permudahkan segala urusan kepada mereka yang terlibat dengan gangguan air,” katanya.

Seakan memberi kiasan, pengguna bernama Cik Kaseh @nrldaud berkata, “As usual lah, Ustaz Ebit bertindak lagi laju daripada orang-orang yang sepatutnya.”

Engku Muhd Fazli @engkufazli113 pula mempersoalkan di mana keberadaan wakil rakyat untuk penduduk setempat ketika isu sebegini timbul.

“Bila ustaz membantu, aku terfikir mana pergi YB-YB kawasan situ? Takkan sibuk kot. Jadi, aku cuba berhusnuzon mungkin dia tengah setelkan hal tempat lain,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button