MB Selangor digesa ‘isytihar perang’ terhadap pihak jadi punca pencemaran
Sampai bila jutaan rakyat Selangor perlu berdepan dengan krisis air?

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 3 Rabiulawal 1442H, Selasa – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari digesa bertanggungjawab sepenuhnya atas krisis air yang terlalu kerap dihadapi penduduk negeri ini.
Jutaan rakyat Selangor sudah hilang kesabaran berikutan gangguan bekalan air yang kerap kali berlaku di negeri termaju di Malaysia.
Ini bukan kali pertama berlaku, peliknya masih tiada mana-mana syarikat korporat atau individu dibawa ke muka pengadilan atau dikenakan hukuman berat.
Serentak itu, Ketua Angkatan Pemuda-Pemudi Berjasa (ANGKASA), Hazwan Mohamad menggesa Menteri Besar mengisytiharkan perang terhadap ‘mereka’ yang bersalah dan menjadi punca pencemaran dan menatijahkan krisis air di Selangor.
“Sekiranya beliau tidak mampu menyelesaikan isu ini, kita desak Amirudin segera berundur dan meletakkan jawatan.
“Ini kerana, beliau memegang peranan sebagai Menteri Besar yang mempunyai autoriti kuat bagi memastikan isu air ini tidak berulang, namun malangnya penduduk masih ditimpa masalah yang sama,” katanya.
Lebih menyusahkan orang ramai, Hazwan berkata, gangguan bekalan air berlaku tatkala penularan pandemik COVID-19 dan Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Apa tidak adakah perancangan yang menyeluruh berkenaan isu air di Selangor setelah lama berkuasa di negeri terkaya ini?
“Apakah hasil negeri tidak diurus dengan penuh tanggungjawab agar rakyat boleh menerima dan mendapat perkhidmatan yang terbaik?
“Sampai bila jutaan rakyat Selangor perlu berdepan dengan krisis air dan lebih menyakitkan apabila terpaksa berhadapan juga dengan wabak COVID-19 yang semakin meningkat di Lembah Klang,” katanya.
Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 dan LRA Rantau Panjang dihentikan tugas akibat pencemaran sumber air mentah pada pukul 2 pagi kelmarin.
Gangguan tersebut membabitkan lebih 1.2 juta pemegang akaun di 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.
Semalam, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, siasatan awal mendapati bahan pelarut (solvent) adalah bahan punca kepada pencemaran bau – sama dengan kejadian pada awal September lepas, bagaimanapun punca sebenar pencemaran masih dalam siasatan.
Katanya, beberapa kawasan kilang dikenal pasti menjadi punca pencemaran berkenaan dan tidak menolak kemungkinan bahan pelarut itu dibuang oleh kilang-kilang haram yang beroperasi di sekitar Selangor.