Berita Utama

Padah rasuah polis, tauke judi ditahan

Sogok RM18, 500 minta bebaskan diri daripada jenayah

BANGI, 3 Rabiulawal 1442H, Selasa – Tindakan seorang lelaki tempatan cuba merasuah anggota polis bagi melepaskan diri daripada tindakan undang-undang kerana terbabit dengan perjudian dalam talian mengundang padah apabila dia ditahan semalam.

Lelaki itu ditahan di sebuah rumah di Jalan Matang – Batu Kawa, Padawan, selepas menawarkan wang berjumlah RM18,500 sebagai dorongan untuk membebaskan dirinya daripada jenayah itu, selain mahu mengelak tujuh lelaki dan tiga wanita yang bekerja dengannya ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, semua suspek berusia antara 21 hingga 50 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan pada 5.30 petang.

“Semua warga asing yang bekerja dengan lelaki itu diberi gaji sebanyak RM1,500 sebulan serta dibekalkan telefon pintar dan komputer untuk mengendalikan perjudian dalam talian.

“Modus operandi yang digunakan adalah dengan beroperasi di dalam rumah bagi mengaburi mata pihak berkuasa sejak lebih kurang enam bulan lalu dan dianggarkan mengaut keuntungan kasar mencecah RM8,000 sehari,” katanya seperti dilapor Harian Metro hari ini.

Aidil berkata, pihaknya turut merampas merampas lima komputer, sembilan telefon pintar pelbagai jenama dan peralatan lain yang digunakan untuk menjalankan kegiatan berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala kes rasuah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button